Seri Putra nama baharu Kompleks DUN Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis kini secara rasminya dinamakan sebagai Kompleks Seri Putra, bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

- Advertisement -

Nama baharu ini mengambil ilham daripada ayahanda baginda, Almarhum Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail, tokoh yang banyak berjasa dalam membentuk sistem pemerintahan negeri Perlis moden.

Majlis pemasyhuran penuh adat istiadat di pekarangan kompleks berkenaan yang juga dilangsungkan sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan 25 Tahun baginda di takhta negeri dengan disempurnakan oleh Tuanku Syed Sirajuddin.

Baginda berkenan berangkat bersama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah menzahirkan hasrat dan perkenan ayahanda baginda agar kompleks DUN ini dinamakan sempena Almarhum Tuanku Syed Putra, sebagai penghormatan terhadap legasi kepimpinan baginda yang meletakkan asas kukuh dalam sistem kenegaraan Perlis.

“Almarhum ayahanda beta merupakan Raja Perlis pertama di atas takhta pemerintahan semenjak penggubalan Perlembagaan Negeri iaitu Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis pada 1 Februari 1948 bersamaan kelahiran Persekutuan Tanah Melayu.

“Sehingga kini, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang siap disempurnakan pada 26 Mac 1959 masih digunapakai, hasil kebijaksanaan dan warisan pemerintahan Almarhum baginda,” titah baginda, di sini hari ini.

Baginda turut memperincikan bahawa di bawah pemerintahan Almarhum, institusi DUN mula terbentuk secara rasmi dengan penganjuran Pilihan Raya Majlis Perundangan Negeri buat kali pertama pada 24 September 1955, yang ketika itu melibatkan sembilan kerusi.

Dalam perkembangan sama, baginda menitahkan supaya Kompleks Seri Putra dimanfaatkan secara optimum sebagai ruang perbahasan dan perundingan yang matang, dalam merangka dasar dan undang-undang adil demi kesejahteraan seluruh rakyat negeri ini.

“Bangunan yang besar ini perlu digunakan sepenuhnya dan dijaga dengan sebaiknya. Carilah jalan penyelesaian dan titik persamaan bagi mentadbir dan memajukan negeri ini setanding dengan negeri-negeri lain,” titah baginda.

Selesai majlis pemasyhuran, acara diteruskan dengan Jamuan Teh Rakyat, yang menghimpunkan warga Perlis daripada pelbagai latar belakang sebagai tanda solidariti dan kebersamaan antara institusi diraja dan rakyat jelata. – HARAKAHDAILY 19/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -