KUALA TERENGGANU: Tragedi yang meragut nyawa 10 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) semalam harus menjadi isyarat jelas kepada Kementerian Pengangkutan (MOT).
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir menggesa agar segera memperketat penguatkuasaan keselamatan jalan raya, khususnya melibatkan kenderaan berat.
Katanya, tragedi dipercayai berpunca daripada kerosakan sistem stereng sebuah lori membawa muatan batu itu membuktikan kelemahan berterusan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan terhadap lori-lori berat.
“Saya merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita atas kehilangan 10 anggota FRU dalam nahas yang membabitkan sebuah lori membawa muatan batu, semalam. Mereka adalah wira negara yang amat berharga.
“Berdasarkan kenyataan pihak polis bertarikh 13 Mei 2025, dapatan awal mendapati nahas ini berpunca daripada kerosakan sistem stereng lori terbabit.
“Tragedi ini sekali lagi menzahirkan kelemahan serius dalam aspek penguatkuasaan dan keselamatan jalan raya melibatkan kenderaan berat yang sehingga kini masih belum ditangani secara menyeluruh.
“Kes kematian melibatkan lori bukanlah perkara baharu malah hanya beberapa bulan lalu, tujuh nyawa turut terkorban dalam insiden yang hampir sama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, isu itu pernah dibangkitkan beberapa kali di Parlimen, terutamanya berkaitan pemanduan berbahaya dan muatan berlebihan.
“Usaha kerajaan dalam menangani isu ini masih belum benar-benar menunjukkan komitmen yang tuntas. Saya akui MOT telah memperkenalkan beberapa langkah termasuk merancang untuk menubuhan pasukan khas (task force).
“(Iaitu) bagi menangani kemalangan melibatkan kenderaan berat dianggotai oleh pemegang taruh termasuk agensi kerajaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Ironinya, ‘task force’ yang sama telah ditubuhkan sejak 2024 di bawah penguatkuasaan JPJ. Meskipun pelbagai ‘task force’ ditubuhkan, masih lagi tiada penyelarasan dasar dan penguatkuasaan yang berkesan menyebabkan tragedi terus berlaku.
“Justeru, saya menggesa agar MOT mengambil tindakan yang lebih serius dan menyeluruh. Selain mengkoordinasikan ‘task force’ tersebut dengan baik, aspek pengurusan dan pemantauan teknikal ke atas kenderaan berat juga perlu diberi perhatian.
“Ini termasuk memastikan penyelenggaraan berkala dilakukan secara konsisten,” katanya.
Shaharizukirnain turut mencadangkan agar teknologi pemantauan seperti sistem telemetri diwajibkan bagi kenderaan berat berisiko tinggi.
“Telemetri ialah sistem pemantauan berasaskan teknologi yang membolehkan data seperti kelajuan, penggunaan brek, dan gaya pemanduan direkod serta dihantar secara langsung (real-time) ke pusat kawalan.
“Teknologi ini telah digunakan secara meluas di negara maju seperti Jepun bagi mengesan dan mencegah pemanduan berbahaya sebelum kemalangan berlaku.
“Kerajaan perlu melaksanakan dasar mewajibkan pemasangan sistem ini secara berperingkat pada lori-lori berat tertentu sebagai langkah pencegahan yang amat baik.
“Maka, tragedi yang meragut nyawa anggota FRU ini wajar menjadi ‘wake-up call’ yang sebenar kepada Kementerian Pengangkutan agar tidak hanya bergantung kepada penubuhan ‘task force’ semata-mata.
“Pelaksanaan menyeluruh, penyelarasan antara agensi, serta penguatkuasaan yang benar-benar tegas serta berkesan diperlukan dengan kadar segera,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!