Setiap jentera parti mesti elak 12 perkara ini

- Advertisement -

PENDANG: Muslimat diingatkan agar berperanan untuk terus aktif memajukan dewan masing-masing termasuk di peringkat cawangan, pesan Ketua Muslimat PAS Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.

- Advertisement -

Katanya, setiap tahun Mesyuarat Agung Tahunan diadakan, antara lain untuk bermuhasabah gerak kerja yang dilakukan, di samping berkongsi idea penambahbaikan.

“Muslimat Pendang ini antara yang terbaik di Kedah, bukan sahaja ramai tetapi sentiasa memberi komitmen terbaik pada program anjuran Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah,” tegas beliau.

Dato’ Ashah berkata demikian ketika berucapan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Pendang Kali ke-41, di sini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas itu juga berpesan agar setiap penerajui muslimat cawangan dan kawasan peka kepada formula A, B, C, D dan E, yang boleh membantu melancarkan gerakerja parti.

A, B, C, D dan E tersebut dihurai beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah sebagai mewakili Aktiviti, Bersepadu, Calon, Data dan Emosi.

“Aktiviti yang dilakukan bersepadu dengan penglibatan anak muda, di semua entiti, jangan berebut nak jadi calon, mempunyai data atau maklumat lengkap, selain jangan buat sesuatu kerja dengan emosi atau cepat marah atau merajuk,” tambahnya lagi.

Beliau selaku juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas, turut menegaskan agar setiap jentera parti mengelak atau tidak lakukan 12 perkara yang katanya boleh membawa implikasi negatif kepada diri mahupun jemaah.

Diterangnya 12 perkara itu adalah, jangan malas untuk hadir mesyuarat, tidak walak kepada pemimpin, berfikiran negatif, jangan selekeh, jangan banyak cakap serta jangan kedekut.

Selain itu ujarnya, elakkan diri daripada sifat sombong, panas baran, tidak amanah, tidak boleh menerima teguran, malas hadir program tarbiyyah dan malas membaca.

“Elak 12 perkara ini. Muslimat perlu bina sifat yang positif agar sentiasa ke hadapan dalam semua perkara,” kata beliau lagi.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyempurnakan pelancaran derma untuk menyiapkan Dewan Tok Guru Haji Jusoh, PAS Kawasan Pendang, di Gajah Mati.

Dalam perkembangan lain, Dr Rahimah Sahit kekal menerajui Dewan Muslimat PAS Kawasan Pendang apabila menang tanpa bertanding pada pemilihan untuk sesi 2025-2027.

Dalam masa yang sama, semua jawatan yang dipertandingkan iaitu Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap, Timbalan dan Naib Ketua, lapan ahli jawatankuasa dan dua Pemeriksaan Kira-Kira, masing-masing menang tanpa bertanding pada sesi kali ini.

Perkara itu diumumkan oleh ketua jawatankuasa pemilihan, Siti Nur Sholehah Mohamad Noor. – HARAKAHDAILY 11/5/2025

- Advertisement -