DAP tuntut Umno kerusi sama rata di DUN Melaka

Agenda Malaysian Malaysia?

- Advertisement -

PADA Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 15 pada tahun 2021 yang lepas, BN telah memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, manakala PH lima kerusi dan Perikatan Nasional dua kerusi.

Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 pada tahun 2022 yang hanya melibatkan kerusi Parlimen di Negeri Melaka sehingga pembentukan Kerajaan PH-BN di peringkat Persekutuan, PH dan BN telah membentuk kerajaan bersama di negeri ini selaras dengan perubahan di peringkat Persekutuan.

Bahang PRN ke 16 yang bakal berlaku selewat-lewatnya pada akhir tahun 2026 telah menyebabkan PH-DAP kini semakin ghairah untuk merebut lebih banyak kerusi berbanding hanya lima kerusi yang dimenangi sekarang.

Baru-baru ini sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan berita bertajuk ‘Sembilan Cawangan DAP Melaka Meluluskan Resolusi Strategi 14 BN 14 PH pada PRN Melaka Akan Datang’.

Resolusi itu menuntut agar 28 kerusi DUN Negeri Melaka untuk diberi sama rata antara mereka iaitu 14 kerusi untuk BN dan 14 kerusi lagi untuk PH-DAP.

Tindakan DAP menuntut jumlah kerusi yang sama rata ini jelas menunjukkan sikap sebenar DAP yang mahu melemahkan kuasa politik Melayu dalam Kerajaan Melaka yang majoritinya kini dikuasai Umno.

Kami dipihak PAS dapat memahami kemarahan oleh sahabat-sahabat kita daripada Umno yang kesal dengan sikap tamak DAP dalam usaha untuk menguasai Kerajaan Negeri Melaka.

Kami pernah bersama dengan DAP dalam satu tempoh yang lama kerana itu kami sangat memahami sikap sebenar DAP yang sentiasa berusaha untuk menguasai dan mengawal serta menjadi ‘abang besar’ dalam apa-apa pakatan.

Kerana itu kami sebelum ini telah pun mengambil sikap memutuskan hubungan dengan DAP kerana melihat sikap parti itu yang mahu menguasai yang boleh menjadikan kuasa politik Melayu menjadi lemah.

Tuntutan kerusi pada jumlah sama rata ini sebenarnya adalah satu manifestasi daripada perjuangan Malaysian Malaysia yang tidak pernah digugurkan DAP sehingga kini yang mahukan hak sama rata antara kaum yang pasti bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Hak Istimewa Orang Melayu.

Rakyat Malaysia terutama orang-orang Melayu dan ahli-ahli Umno harus sedar tentang perkara ini dan perlu bertindak tegas menentang tuntutan ini.

Sekiranya Umno tunduk kepada desakan DAP kita bimbang bahawa kuasa orang Melayu akan semakin terhakis di bumi Melaka dan Melaka akan menjadi sepertimana Pulau Penang pada hari ini.

AHMAD BILAL RAHUDIN
Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka – HARAKAHDAILY 11/5/2025

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -