PENEGASAN YAB Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan dalam sesi penggulungan, Persidangan Kali Pertama Penggal Ke 5 Dewan Negeri Kelantan Ke 14 Tahun 2022 petang semalam dalam memberikan sepenuh komitmen bagi memelihara 51 peratus hutan simpan negeri adalah iltizam tanpa kompromi.
Walaupun ada cubaan merosakkan reputasi pengurusan hutan melibatkan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, namun sayugia saya ingatkan semua keputusan melibatkan pembalakan dan jagaan hutan simpan adalah melalui mesyuarat jawatankuasa. Tidak mungkin wujud kepentingan peribadi ekoran proses ketat yang diamalkan sejak dahulu.
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan berdiri teguh bersama kepimpinan YAB Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar dalam menolak sebarang unsur yang boleh menjejaskan hutan simpan negeri. Semua perkara yang dijelaskan sebelum ini adalah cerminan transparensi pihak kerajaan dalam pengurusan hutan termasuk tanah-tanah di bawah Zon Pembangunan Ladang Hutan.
Jika isu yang cuba dimainkan adalah berkait hutan simpan, nampaknya penafian daripada Pejabat Menteri Besar adalah sumber yang paling rasmi dan sukacita diulang ianya bukan dalam kawasan hutan simpan. Kelantan kekal 51 peratus hutan simpan.
Jika isunya adalah pelabur luar yang dilantik, bukan rakyat tempatan, pastinya ia melalui proses yang standard dan selaras dengan dasar ekonomi negeri, terbuka tetapi berintegriti.
Jika hutan simpan melibatkan kawasan tadahan hujan, tiada lesen pembalakan akan dikeluarkan dan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi menghalang pembalakan haram.
Begitu pula sekiranya melibatkan zon pembangunan ladang hutan, proses biasa penanaman semula akan menampakkan penggondolan di peringkat awal sebagaimana gambar yang diviralkan. Hakikatnya ia adalah ladang hutan yang menunggu masa untuk menghijau dan memberikan hasil untuk negeri dan hutan simpan kekal 51 peratus.
Dan saya pastinya juga percaya bukan Husam dan tentera sibernya sahaja yang sayangkan hutan negeri ini. Seluhur hati budi YAB Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan dan barisan exco lebih-lebih lagi kerana amanah yang diberikan rakyat adalah tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan dan akan dipersoalkan di akhirat nanti.
Di penghujung Syaaban yang berkat ini, harapnya mereka yang cuba memanipulasi isu ini segera ke meja taubat kerana Ramadan akan tiba tidak lama lagi.
Salam hormat.
MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 31/3/2022