KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) mendapat suntikan semangat baharu menerusi pelantikan Datuk Mohd Irwan Rizal Ali Napiah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu pasukan itu.
Presiden KDN FC, Rozi Muhamad mengumumkan pelantikan itu sempena program Appreciation Dinner KDN FC yang diadakan di sebuah hotel malam tadi.
“Kelantan Darul Naim FC dengan berbesar hati mengumumkan pelantikan Dato’ Mohd Irwan Rizal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Katanya, pelantikan tersebut menandakan permulaan era baharu dalam pengurusan bola sepak negeri di bawah naungan KDN FC yang komited untuk mengangkat semula martabat pasukan dan membawa harapan baharu kepada penyokong setia.
Pihaknya yakin pengalaman luas yang dimiliki Irwan Rizal dalam bidang korporat mampu mengangkat kembali nama pasukan termasuk dari segi pembangunan jangka panjang.
“Dato’ Mohd Irwan Rizal merupakan seorang tokoh profesional berpengalaman dalam bidang korporat dan pengurusan sukan, termasuk terlibat dalam beberapa inisiatif pembangunan sukan di peringkat negeri.
“Dengan latar belakang kepimpinan strategik, beliau diyakini mampu memperkukuh struktur kelab, menarik pelaburan dan merancang pembangunan jangka panjang untuk memastikan KDN FC menjadi pencabar utama dalam liga bola sepak Malaysia,” ujarnya lagi.
Tambah Rozi, pihaknya turut yakin dengan kepimpinan beliau, KDN FC akan terus maju ke hadapan, memartabatkan bakat anak tempatan dan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Kelantan.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, beliau turut menyatakan iltizam KDN FC untuk terus memperkukuhkan pasukan dari aspek teknikal dan pengurusan bagi musim 2025/2026.
Antaranya melibatkan penstrukturan semula skuad utama dengan gabungan pemain berpengalaman dan bakat muda.
“Menarik lebih banyak kerjasama rakan strategik dengan penaja baharu serta memperkukuhkan hubungan dengan penaja sedia ada.
“Kami percaya dengan kerjasama erat antara semua pihak, musim akan datang bakal menyaksikan kebangkitan yang lebih mantap bagi KDN FC selari dengan impian untuk mengangkat bola sepak Kelantan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!