KOTA BHARU: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menitipkan pesanan penting kepada para jemaah haji agar memperbanyakkan kesabaran, bertolak ansur serta menghayati semangat kesatuan yang diajar dalam ibadah haji.
Beliau berkata, pemilihan sebagai Tetamu Allah (Dhuyufurrahman) merupakan nikmat besar yang perlu disyukuri dengan sepenuh hati.
“Saya memahami perasaan para Tetamu Allah bilamana saat nama terpilih untuk menjadi sebahagian daripada jutaan umat yang akan berkampung di dua Tanah Haram bagi menyahut seruan melaksanakan rukun Islam kelima,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyempurnaan Keberangkatan Jemaah Haji Negeri Kelantan, malam tadi.
Dalam ucapannya, beliau menyeru para jemaah agar memperbanyakkan kesabaran dan sentiasa bertolak ansur dalam segala urusan.
Beliau turut mengingatkan agar jemaah menghayati semangat kesatuan umat Islam yang diajar menerusi ibadah haji, di samping tidak lupa untuk memohon keampunan dan rahmat Allah sepanjang perjalanan ibadah ini.
Menteri Besar turut berdoa agar semua jemaah diberikan keselamatan dalam perjalanan pergi dan pulang serta dikurniakan haji yang mabrur.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Ustaz Mohd Asri Mat Daud turut merakamkan ucapan selamat jalan kepada semua jemaah Kelantan yang berangkat ke Tanah Suci.
“Selamat jalan dengan selamat kepada semua bakal haji Kelantan dan menunaikan ibadah haji dengan sempurna serta dikurniakan haji mabrur, insya-Allah,” ujar beliau.
Menurutnya, seramai 142 jemaah haji dari Kelantan telah dilepaskan malam tadi secara berperingkat.
“Seramai 2,291 jemaah dari negeri kita telah terpilih sebagai Dhuyuf al-Rahman bagi musim haji tahun ini,” katanya.
Ustaz Mohd Asri turut merakamkan penghargaan kepada Tabung Haji dan semua agensi berkaitan atas komitmen dalam mengurus jemaah haji.
“Terima kasih TH dan semua team yang sentiasa cemerlang dalam menguruskan para jemaah haji, termasuk semua pihak yang membantu mempermudahkan segala urusan,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!