KERJAYA sebagai doktor sering dianggap mulia dan menjadi impian ramai pelajar cemerlang. Gelaran ‘doktor’ membawa imej kepakaran, kemanusiaan dan pengorbanan.
Namun di sebalik pengiktirafan itu, hakikatnya profesion ini menuntut kekuatan mental dan fizikal yang luar biasa, selain melalui perjalanan yang panjang dan mencabar.
Malaysia kini mempunyai lebih 75,000 doktor berdaftar dengan nisbah seorang doktor untuk setiap 420 orang penduduk. Angka ini hampir mencapai saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu seorang doktor untuk setiap 400 orang.
Namun, hakikatnya isu kekurangan doktor di kawasan luar bandar dan agihan tenaga kerja yang tidak seimbang masih menjadi antara cabaran utama dalam sistem kesihatan negara.
Sejak tahun 2016, sistem lantikan kontrak untuk pegawai perubatan muda diperkenalkan. Walaupun langkah ini dikatakan sementara, ramai doktor muda kini terperangkap dalam status yang tidak tetap.
Mereka telah melalui tempoh pengajian dan latihan yang panjang, namun masa depan mereka kekal samar-samar. Hal ini menimbulkan rasa kecewa dan kebimbangan dalam kalangan pelajar dan ibu bapa.
Namun, dalam mendepani cabaran ini, Public Health Malaysia tampil dengan nada optimis dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya yang mendapat perhatian orang ramai, mereka menyeru agar masyarakat tidak patah semangat dan terus menggalakkan pelajar cemerlang memilih bidang perubatan.
Menurut mereka, dunia masih memerlukan doktor yang bukan sekadar bijak di atas kertas, tetapi juga luhur hati, jujur dan berani.
Mereka percaya perubahan sedang berlaku dan sistem akan terus dibaiki. Hak-hak serta masa depan para doktor akan terus diperjuangkan agar dunia perubatan kekal terpelihara.
Walaupun semangat ini diperjuangkan, suara dari lapangan menunjukkan realiti yang jauh lebih mencabar.
Seorang pengguna media sosial, Daisy Liew, berkongsi bahawa persekitaran kerja doktor sering kali tidak kondusif.
“Sistem kesihatan kita mempunyai banyak cabaran, termasuk beban kerja yang tinggi, kekurangan fasiliti dan tekanan dari segi mental dan fizikal.
“Doktor sering terpaksa bekerja lebih daripada 30 jam sehari, termasuk syif malam dan hujung minggu. Masa untuk keluarga dan kehidupan peribadi amat terhad.
“Gaji yang rendah, walaupun tanggungjawab besar, gaji doktor muda di Malaysia adalah rendah berbanding dengan kerja keras dan masa yang dilaburkan,” katanya.
Tambahan pula katanya, ramai dihantar berkhidmat di kawasan jauh dari keluarga, tanpa pilihan yang fleksibel.
“Graduan perubatan sering dihantar untuk berkhidmat di hospital atau klinik kesihatan di kawasan pedalaman atau jauh dari rumah, kadangkala tanpa pilihan,” katanya.
Menurutnya, bagi yang ingin menjadi pakar, prosesnya bukan sahaja memakan masa bertahun-tahun, tetapi perlu dilakukan dalam sistem kontrak yang tidak stabil.
“Jika ingin menjadi pakar, tempoh latihan adalah bertahun-tahun, ditambah dengan kontrak perkhidmatan bersama KKM yang panjang. Ini bermaksud anda perlu melanjutkan khidmat anda dalam keadaan kerja yang mencabar lebih lama,” katanya.
Sementara, Dr Aizat Sabri Ilias berkongsi bahawa beliau telah mewakafkan dirinya untuk terus menuntut ilmu sejak zaman sekolah menengah, pengajian sarjana muda, sarjana dan kini berada dalam latihan subkepakaran.
Menurut beliau, menjadi doktor bukan sekadar satu kerjaya, tetapi satu bentuk ibadah yang berpanjangan. Setiap rawatan yang diberikan, setiap nyawa yang diselamatkan, adalah satu usaha membantu manusia kembali kepada kehidupan dan ibadah.
Beliau mengakui cabaran memang wujud, termasuk isu elaun ‘oncall’ dan jawatan kontrak, namun menyeru agar mereka yang benar-benar berminat tetap meneruskan cita-cita ini.
“Perjalanan menjadi doktor ini menagih pengorbanan yang tinggi, bermula daripada anda ingin berjaya tetapi faedahnya melangkaui apa yang kita nilai di dunia ini.
“Anda boleh menjadi asbab dari kesembuhan muslim lainnya,agar mereka dapat kembali beribadah kepada Allah SWT, dengan solat, zakat, berpuasa dan haji, pekerjaan mahupun keluarganya. Anda akan melalui perjalanan ibadah yang berpanjangan dengan bekerja agar pesakit yang anda rawat dapat bekerja semula untuk memberi nafkah kepada keluarganya.
“Anda merawat mereka agar mereka kembali bekerja untuk mencari harta yang halal agar mereka nantinya menjadi manusia yang bertakwa kpd Allah SWT. Kamu telah menghidupkan harapan dan cinta sepasang suami isteri yang telah mereka semai selama berpuluh tahun dgn memulihkan rawatan mereka.
“Anda juga telah menghalang seorang anak daripada menjadi yatim piatu dengan melakukan pembedahan kecemasan buat ayah dan ibunya yang cedera parah. Kepada yang berminat, teruskan impian anda. Ingat, kerja kita bukan biasa-biasa,” katanya.
Namun tidak semua berkongsi pandangan yang sama. Kelvin Soon, seorang individu dalam sistem kesihatan awam, secara terbuka menasihatkan agar pelajar tidak memilih bidang perubatan.
Menurutnya, sistem sedia ada tidak menghargai barisan hadapan.
“Isu elaun ‘oncall’, kekurangan staf, masa kerja yang panjang dan sistem latihan yang tidak mesra pelatih,” katanya.
Katanya, ramai ibu bapa hanya melihat keputusan akademik anak, tetapi tidak memahami realiti sebenar yang menanti dalam dunia perubatan.
Seorang ibu, Nida Hasni, berkongsi bahawa beliau pada awalnya menggalakkan anaknya yang cemerlang untuk menyambung pengajian dalam bidang ini.
Namun, setelah melihat anak sulungnya masih kekal dalam status kontrak selepas tiga tahun berkhidmat, perasaan ragu mula timbul.
“Bimbang tidak boleh hadap lalu terkandas di tengah jalan, rugi sangat.. sepatutnya galakan ibu bapa serta komitmen kerajaan perlu seiring.. berharap sangat KKM cakna dengan kebajikan, beban kerja serta imbuhan setimpal atas pengorbanan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!