YDPA titah ketua parti, gabungan namakan calon PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Adalah dimaklumkan bahawa Istana Negara telah menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang telah berlangsung semalam (19 November 2022), daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia pada jam 1:15 tengah hari, hari ini.

- Advertisement -

Dokumen yang telah dikemukakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia YBhg. Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan bahawa tiada parti   politik   berjaya   memperoleh majoriti   mudah   kerusi   Parlimen   untuk membentuk kerajaan baharu.

Sehubungan  dengan  itu,  menjunjung  titah  perkenan  KDYMM  Seri  Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin  Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Istana Negara telah meminta kerjasama Yang di-Pertua Dewan Rakyat YBhg. Tan Sri Azhar Azizan Harun memohon kepada ketua parti-parti politik dan ketua gabungan  parti-parti  politik  yang  mempunyai  jumlah  kerusi  yang  banyak untuk memaklumkan kepada pihak Istana Negara mengenai gabungan parti- parti politik yang telah dipersetujui antara parti-parti politik atau gabungan parti- parti politik berkenaan bagi pembentukan kerajaan baharu pasca PRU15.

Ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik tersebut akan diminta oleh YBhg. Tan Sri Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan mengenai gabungan parti-parti politik yang telah dipersetujui masing-masing serta mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan  majoriti  Ahli  Dewan  Rakyat  berikutan  gabungan  parti-parti politik tersebut untuk menjadi calon Perdana Menteri Malaysia kepada Istana Negara sebelum jam 2:00 petang, pada hari Isnin, 21 November 2022.

Selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,   adalah   dimaklumkan   juga   bahawa   titah   perkenan   dan keputusan Seri Paduka Baginda berkenaan pembentukan kerajaan baharu dan  pelantikan  Perdana  Menteri  menerusi  proses  yang  telah  dijelaskan adalah muktamad.

Seri Paduka Baginda menasihati rakyat dan ketua parti-parti politik akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU15 dengan tenang  serta  berlapang  dada  demi  menjaga  keutuhan  negara  kerana negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya.

Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa negara memerlukan sebuah  kerajaan  yang  stabil,  berwibawa  dan  berintegriti  untuk  menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara.

Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan dan kemakmuran negara.

Baginda  seterusnya  turut  mengajak  rakyat  untuk  bersama  mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.

DATO’ SERI AHMAD FADIL SHAMSUDDIN
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara – HARAKAHDAILY 20/11/2022

- Advertisement -