KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM29 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) sejak 2014 hingga tahun lalu bagi menjayakan agenda pendidikan Islam di negeri ini.
Yang Dipertuanya, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, agihan tersebut sebagai simbol kebersamaan antara MAIK dan YIK dalam melahirkan generasi rabbani di Kelantan.
Menurutnya, dana berkenaan digunakan untuk menampung emolumen guru-guru serta aktiviti lain yang berkaitan dengan pengurusan pendidikan.
“Sumbangan kewangan di bawah kategori asnaf fi sabilillah bagi tujuan pengurusan tahunan YIK diteruskan lagi pada tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM2.5 juta.
“MAIK turut bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM2 juta kepada YIK, menjadikan jumlah kumulatif bantuan kewangan pada tahun ini berjumlah RM4.5 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra Yang Berhormat Mulia Tengku Temenggong Kelantan Bersama Pelajar-Pelajar Maahad Tahfiz YIK, di sini hari ini.
Jelas beliau lagi, peruntukan tambahan itu bertujuan menampung kos perbelanjaan makan dan minum di sekolah-sekolah maahad tahfiz YIK serta Maahad Tahfiz Sains Tok Guru. – HARAKAHDAILY 1/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!