KANGAR: Perlis komited memperjuangkan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat apabila mengemukakan 61 cadangan projek bernilai RM3.3 bilion untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang bakal bermula tahun hadapan.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, projek-projek berimpak tinggi tersebut merangkumi pelbagai sektor penting dan telah diajukan kepada Kerajaan Pusat melalui kementerian-kementerian berkaitan.
“Cadangan projek yang dikemukakan adalah bagi memastikan aspirasi baharu negara di bawah RMK-13 dapat direalisasikan, sekali gus melonjakkan ekonomi negeri Perlis ke tahap yang lebih cemerlang dan mampan,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Madani Peringkat Negeri Perlis di Lok 9, petang semalam.
Menurut Mohd Shukri, RMK-13 yang akan berlangsung dari tahun 2026 hingga 2030 diharap dapat memberi fokus kepada pengukuhan ekonomi negeri kecil seperti Perlis, selain membangunkan infrastruktur, pendidikan, pelancongan serta memperkasa sektor pertanian moden.
“Kerajaan negeri mengharapkan agar semua cadangan ini diluluskan dan direalisasikan demi manfaat rakyat negeri Perlis yang tercinta,” ujarnya di hadapan hadirin termasuk keberangkatan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan dihadiri Perdana Menteri, Dato’ Seri Diraja Anwar Ibrahim.
Dalam ucapannya juga, Mohd Shukri turut menzahirkan rasa syukur kerana sambutan Jubli Perak Pemerintahan Tuanku Raja Perlis tahun ini berlangsung penuh meriah dan bermakna.
Antara acara utama yang diadakan ialah Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Rejimen Renjer Diraja serta persembahan tatu tentera dan pertunjukan payung terjun dari pasukan khas di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini, pada Sabtu, 26 April.
“Kehadiran rakyat yang membanjiri stadium membuktikan kasih sayang dan kesetiaan rakyat kepada pemerintahan Tuanku Raja yang amat dekat di hati rakyat,” katanya lagi.
Menambahkan lagi seri sambutan, negeri Perlis turut terpilih menjadi tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTQHK) Tahun 1446H/2025M, yang berlangsung dari 27 April hingga 2 Mei di Dewan 2020, di sini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri semalam, memperlihatkan Perlis terus menjadi tumpuan nasional dalam acara keagamaan yang berprestij.
Dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi, Mohd Shukri turut memaklumkan bahawa sebuah kilang baru milik syarikat multinasional Jabil telah dirasmikan di Chuping baru-baru ini oleh Tuanku Raja Perlis.
“Ini adalah satu lonjakan positif untuk sektor ekonomi negeri. Kita berharap lebih banyak pelaburan dan projek berskala besar dapat dibawa masuk ke Perlis selepas ini,” katanya.
Dalam nada penuh kesyukuran, beliau mengakhiri ucapannya dengan ucapan terima kasih kepada semua petugas jabatan dan agensi yang memastikan kelancaran sambutan hari ini serta mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat.
“Patik sekali lagi merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Duli-Duli Tuanku berangkat ke majlis ini,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran para pemimpin negeri, ketua jabatan, penjawat awam, serta rakyat pelbagai lapisan, memeriahkan suasana Aidilfitri dalam semangat Madani yang penuh harmoni. – HARAKAHDAILY 28/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!