KPM tangani isu pembinaan sekolah terbengkalai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Projek pembinaan bangunan sekolah yang telah lama terbengkalai sedang mendapat perhatian serius pihak kerajaan, demikian kata Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin.

Jelasnya, kerajaan berusaha memastikan projek yang telah lama terbengkalai itu dapat disiapkan dan mengelak berlaku lebih banyak kerugian akibat kerosakan pada struktur binaan.

- Advertisement -

“Terdapat lebih kurang 25 projek sekolah sakit. Kita akan lihat satu persatu dan bagi keutamaan kepada yang mana perlu diselesaikan dahulu serta akan susun supaya ianya (pembinaan) dapat dipercepatkan,” katanya lapor Bernama.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika membuat lawatan ke tapak pembinaan sekolah terbengkalai di Sekolah Sukan Malaysia Perlis, Padang Besar hari ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) kata beliau, akan memastikan setiap projek dapat disiapkan segera dalam tempoh ditetapkan dengan memilih kontraktor yang tepat dan cekap.

Mengulas mengenai pembinaan Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang terbengkalai begitu lama sejak 2013, beliau berkata kontraktor baharu akan memulakan pembinaan pada Januari tahun hadapan dan dijangka siap selama 24 bulan seperti yang dijadualkan.

Beliau berkata tumpuan utama pada ketika ini adalah untuk menyiapkan fasa satu yang melibatkan peruntukan sebanyak RM41 juta.

“Kita akan pantau projek ini secara dekat bagi memastikan bahawa apa yang berlaku sebelum ini tidak akan berulang lagi dan Sekolah Sukan Malaysia Perlis ini dapat disiapkan,” katanya.

Projek yang dijangka siap pada Januari 2023 itu boleh menampung kapasiti 600 hingga 700 murid di atas tanah seluas 25.50 hektar.

Semalam, beliau menegaskan, Kementerian Pendidikan sentiasa memantau secara dekat sekolah-sekolah yang mempunyai bangunan daif, bagi memastikan tiada isu akan ‘terlepas pandang’.

Kata Dr Radzi Jidin, susulan itu pihaknya sering turun padang dan melihat sendiri apakah keperluan segera di sekolah-sekolah berkenaan, demi keselesaan warga sekolah khususnya pelajar.

“Walaupun ada dalam senarai (bangunan sekolah daif), kadang-kadang ada keperluan mendesak yang perlu didahulukan dan perkara inilah yang perlu sentiasa diteliti dari semasa ke semasa.

“Bangunan sekolah ini (strukturnya) tidak statik (kekal kukuh), kadang-kadang bila terkena banjir misalnya, bangunan akan menjadi daif,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada pelajar terpilih di Pusat Khidmat ADUN Bukit Kayu Hitam di Napoh, semalam.

Menurut beliau Sabah dan Sarawak antara negeri paling banyak mempunyai bangunan sekolah daif di mana KPM sentiasa melihat pendekatan atau kaedah boleh dilaksanakan dalam memastikan semua pelajar mendapat kualiti pendidikan lebih baik.

“Kita ada satu sistem pendidikan yang masih ada ruang yang perlu dikukuhkan dan ada peluang yang perlu diambil, untuk memastikan anak-anak dapat belajar dan dididik dalam satu sistem pendidikan yang hebat dan bertaraf dunia,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/12/2020

- Advertisement -