Himpunan junjung titah Sultan Pahang 3 Mei

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu himpunan bagi menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah berhubung pencerobohan tanah haram di negeri itu akan diadakan pada Sabtu, 3 Mei depan.

- Advertisement -

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, titah tersebut yang turut menekankan tindakan tegas terhadap penceroboh perlu diambil perhatian penting oleh seluruh rakyat negeri Pahang.

“Saya mewakili lebih 20 NGO di negeri Pahang, luar Pahang serta gabungan parti-parti Melayu Islam di negeri ini juga akan bersama-sama dalam himpunan ini.

“Kita nak menyatakan bahawa kita bersolidariti, bersatu dan menyokong titah Sultan Pahang kerana ini merupakan satu titah yang sangat penting dan perlu dilaksanakan,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Antara yang dijangka hadir dalam himpunan berkenaan ialah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan membicarakan soal agenda Melayu bersatu serta mantan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim yang akan membicarakan berkenaan ancaman komunis di Malaysia.

Tambah beliau, perkara-perkara tersebut bukan sahaja memberikan ancaman yang besar kepada kedaulatan negara, malah kepada orang Melayu dan agama Islam di negara ini.

“Sebab itu kita memulakan siri himpunan ini di negeri Pahang, selepas itu pada bulan Jun kita akan buat di Selangor, bulan Julai di negeri Melaka dan bulan Ogos di negeri Perak.

“Ini semua ancaman-ancaman yang kita kira sudah sampai ke tahap melampau dan sebab itu titah Tuanku Sultan Pahang perlu kita tunjukkan solidariti.

“Serta titah Sultan Perak (Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) juga perlu juga disokong kerana ini terkait dengan tanah milik kerajaan dan rakyat khususnya orang Melayu Islam,” katanya.

Himpunan berkenaan dijadual akan diadakan di padang Taman Cenderawasih, Kuantan bermula jam 5 petang hingga 11 malam. -HARAKAHDAILY 23/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!