ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar seluruh warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sentiasa menghayati dan mengamalkan Roh UniMAP sebagai satu pegangan hidup, bukan sekadar semangat retorik semata-mata.
Titah baginda, Roh UniMAP perlu menjadi prinsip hidup yang mencerminkan komitmen terhadap kecemerlangan akademik, inovasi berterusan, integriti dalam tindakan serta keazaman menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
“Roh UniMAP sewajarnya sentiasa tersemat utuh dalam sanubari setiap daripada kita. Hanya dengan semangat yang bersatu, jiwa yang kental, dan rasa hormat terhadap diri sendiri, barulah kita mampu melangkah sederap dalam merealisasikan aspirasi universiti sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang unggul, dinamik, dan berdaya saing di persada global,” titah baginda.
Titah itu disampaikan ketika Tuanku Raja Muda yang juga Tuanku Canselor UniMAP berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Anugerah Seri Gemilang UniMAP 2024 yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan, Kampus Alam Pauh Putra, di sini, hari ini.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro-Canselor UniMAP.
Keberangkatan tiba baginda disambut mesra oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UniMAP, Tan Sri Datuk Sri Sufri Mhd Zin dan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli.
Dr. Zaliman dalam ucapannya berkata, majlis itu merupakan penghargaan kepada komitmen warga kerja UniMAP yang telah menyumbang kepada kejayaan universiti sepanjang tahun 2024.
Beliau turut menyeru agar warga UniMAP terus mengekalkan semangat kebersamaan, sejajar dengan pepatah Inggeris: “If you want to go fast, go alone. If you want to go far, go together.”
Majlis itu menyaksikan Tuanku Syed Faizuddin berkenan mengurniakan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 27 penerima, manakala 38 penerima lain menerima anugerah daripada Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen.
Secara keseluruhan, seramai 168 warga UniMAP dipilih menerima Anugerah Khas Perkhidmatan Cemerlang (AKPC) dan APC tahun ini, sebagai pengiktirafan atas prestasi luar biasa dan sumbangan bermakna kepada pembangunan dan kecemerlangan universiti. – HARAKAHDAILY 23/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!