JAWI saran baca Qunut Nazilah mulai malam ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyarankan agar semua masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menganjurkan bacaan doa Qunut Nazilah semasa solat fardu Subuh, solat Jumaat dan solat sunat Witir sepanjang bulan Ramadan bermula malam ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ini bagi mendoakan kesejahteraan dan keamanan di bumi Palestin khususnya dan negara Malaysia amnya.

- Advertisement -

Menurutnya, ia susulan saranan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk melaksanakan bacaan doa Qunut Nazilah berikutan tragedi pencerobohan yang berterusan ke atas Masjid Al-Aqsa.

“Sesungguhnya doa dan munajat yang dipanjatkan ke hadrat Allah SWT di dalam bulan Ramadan yang mulia adalah lambang solidariti berpanjangan umat Islam untuk perjuangan rakyat  Palestin,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pihaknya mengambil inisiatif melalui masjid-masjid utama JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk melaksanakan bacaan doa Qunut Nazilah semasa solat sunat witir setiap malam khusus untuk keselamatan dan keamanan di bumi Palestin.

Katanya, JAKIM juga memohon kerjasama dan jasa baik Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di seluruh negara untuk turut sama mengadakan bacaan doa Qunut Nazilah di semua masjid dan surau di bawah seliaan masing-masing. – HARAKAHDAILY 21/4/2022

- Advertisement -