KUALA LUMPUR: Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) menggesa supaya dipercepatkan penubuhan Majlis Media Malaysia.
Beliau juga mencadangkan agar pindaan Seksyen 211 ditangguhkan terlebih dahulu bagi memastikan semua Ahli Parlimen memahami dengan terperinci perkara teknikal yang terkandung dalam pindaan tersebut.
Menurutnya, terdapat beberapa peruntukan dalam pindaan itu yang dianggap kabur dan memerlukan penjelasan lebih mendalam, khususnya definisi tertentu seperti ‘jelik melampau’.
Beliau juga mencadangkan agar definisi-definisi itu diperhalusi dan dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK), yang melibatkan wakil kerajaan dan pembangkang.
“Sewajarnya definisi-definisi ini Yang Berhormat Menteri perlu dijelaskan terlebih dahulu kepada pihak jawatankuasa pilihan khas parlimen kerana di dalam JKPK ini mewakili rakan-rakan kita sama ada daripada blok kerajaan mahupun blok pembangkang.
“Mana mungkin kita boleh bersetuju pada satu akta yang kita tak faham ataupun kita tak perincikan perkara-perkara di dalamnya.
“Saya yakin kawan-kawan saya daripada blok kerajaan pun kalau dilihat secara profesionalnya kita tak boleh bersetuju dalam keadaan kita tak nampak apa maksud perincian contohnya jelik melampau,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Khairil berharap agar tiga perkara utama dipertimbangkan, iaitu menangguhkan pindaan Seksyen 211, mewujudkan sebuah badan pengawasan bebas yang bertanggungjawab untuk memantau pelaksanaan undang-undang tersebut agar tidak disalahgunakan, serta mempercepatkan penubuhan Majlis Media Malaysia.
“Tak rugi pun kalau kita tangguh, kerana Yang Berhormat Menteri kita ada sidang bulan Februari,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2024