Ladang babi di kampung Melayu itu tidak berlesen?

Tiada dalam senarai laman sesawang Jabatan Veterinar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS menggesa Exco Kerajaan Negeri Perak, A. Sivanesan untuk menarik balik kenyataan yang menuduh Ahli Dewan Negeri (ADN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri ‘menipu’ berhubung isu pendedahan ladang babi tidak berlesen di negeri itu.

- Advertisement -

Naib Ketuanya, Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, tuduhan itu dianggap berat dan tidak berasas kerana pendedahan oleh ADUN Manjoi dibuat berdasarkan bukti kukuh termasuk lawatan ke lokasi dan dokumentasi bergambar.

“Sebuah ladang babi milik Tan Lan Industries Sdn Bhd di Jalan Kampar–Changkat Jong, berhampiran Kampung Tanjung Keramat iaitu kawasan majoriti penduduk Melayu.

“Bahkan, ladang tersebut tidak disenaraikan dalam laman sesawang rasmi Jabatan Veterinar Negeri Perak, sekali gus menimbulkan persoalan besar tentang status lesen dan kelulusan operasi ladang itu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Muhammad Hanif berkata, keadaan menjadi lebih mencurigakan apabila laman sesawang Jabatan Veterinar menunjukkan perubahan drastik dalam tempoh singkat apabila jumlah ladang babi di Perak dikurangkan daripada 30 kepada 20.

“Perubahan mendadak ini menimbulkan tanda tanya tentang ketelusan pengurusan data dan kemungkinan berlakunya manipulasi maklumat bagi menyokong kenyataan Exco berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Malaysia dengan tegas menuntut agar Sivanesan menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf secara terbuka kepada ADUN Manjoi atas tuduhan tidak berasas yang dilontarkan dalam dewan.

“Di samping itu, Kerajaan Negeri Perak dan Jabatan Veterinar memberi penjelasan segera dan terperinci berkenaan perubahan data yang berlaku serta status sebenar ladang-ladang babi yang tidak disenaraikan secara rasmi.

“Selain itu, Exco dan pihak berwajib segera turun padang bagi meninjau secara langsung situasi sebenar di kawasan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Manjoi sebagai bukti kebertanggungjawaban dan keterbukaan terhadap isu yang berbangkit,” katanya

Oleh demikian, Pemuda PAS berpandangan bahawa pemimpin kerajaan negeri seharusnya bersikap terbuka menerima teguran dan fakta walaupun datang daripada pihak pembangkang.

“Sikap mempertahankan maklumat yang bercanggah dengan realiti lapangan hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Justeru, Pemuda PAS menyatakan sokongan penuh kepada ADUN Manjoi dalam usaha beliau membawa isu rakyat ke dalam dewan dan akan terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang demi mempertahankan kepentingan rakyat, khususnya umat Islam di kawasan yang terkesan. – HARAKAHDAILY 22/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!