Isu nasional kemuka kepada Pusat, bukan Negeri

ADUN PH ditegur salah saluran

- Advertisement -

ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Arang, Adam Loh Wei Chai daripada Pakatan Harapan (PH) dinasihatkan agar berpaksi kepada fakta daripada bersikap terus-menerus ‘menyerang’ Kerajaan Negeri pada perkara di luar bidang kuasa yang termaktub.

- Advertisement -

ADUN Tanjung Dawai, Ustaz Hanif Ghazali berkata, isu berkaitan kekurangan feri ke Langkawi, termasuk cadangan penerbangan dari Langkawi ke Alor Setar yang disebut Adam Loh, adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, bukan Kerajaan Negeri.

“Saya tak pasti, beliau sedar atau tidak, perkara itu adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).

“Termasuk juga isu jalan ‘jammed’ di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Arang, sebahagiannya melibatkan jalan Persekutuan,” kata beliau ketika ditemui _Harakahdaily_, sebaik sahaja Sidang DUN Kedah hari kedua ditangguhkan, di sini semalam.

Pada sesi ucapan perbahasan sebelum itu beliau cuba meminta laluan ketika ADUN daripada PKR tersebut sedang berucap untuk mempersoalkan hal berkenaan, namun tidak dibenarkan.

Sepatutnya, kata Ustaz Hanif, ADUN Bakar Arang itu perlu mengemukakan masalah tersebut kepada Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari, berikutan DUN tersebut berada di dalam parlimen berkenaan.

“Walaupun pada awal ucapannya, YB Bakar Arang sebut dia akan cakap berdasar fakta tetapi nampaknya faktanya tidak kena saluran,” bidasnya lagi.

Adalah lebih baik katanya, berbincang dengan Ahli Parlimen berkenaan untuk dibawa masalah itu ke Dewan Rakyat.

Lagipun, ujar Ustaz Hanif, Kerajaan Persekutuan juga ditadbir PH, jadi rasanya tidaklah sukar kepada ADUN Bakar Arang untuk mengemukakan isu tersebut untuk diambil tindakan. – HARAKAHDAILY 22/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!