Duit raya: Dewan Muslimat hargai amilin parti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh telah menyerahkan sumbangan duit raya kepada kakitangan sepenuh masa parti dalam satu majlis khas di Pejabat Agung PAS, di sini semalam.

- Advertisement -

Pemberian menjelang Aidil Fitri itu khusus untuk semua kakitangan yang bertugas di Pejabat Agung PAS Pusat termasuk kakitangan Dewan-dewan, PASRelief dan petugas keselamatan serta kebersihan.

Lebih 30 kakitangan menerima duit raya hasil daripada sumbangan Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Malaysia dan para dermawan yang bermurah hati berkongsi rezeki buat semua petugas komited tersebut.

Sumbangan duit raya ini merupakan antara inisiatif Muslimat PAS untuk menghargai para pekerja yang bertungkus-lumus melaksanakan tugasan jemaah dengan sebaiknya, disamping meraikan kegembiraan Aidil Fitri bakal disambut tidak lama lagi.

“Ustazah dan seluruh Ahli Jawatankuasa sangat-sangat menghargai semua kakitangan di Pejabat Agung ini, terima kasih banyak-banyak atas segala pengorbanan dan komitmen kerana bekerja dengan PAS,” ucap beliau pada majlis tersebut.

Menurutnya, sebagai sebuah gerakan Islam dan parti politik yang utama di Malaysia, PAS sangat memerlukan kepada petugas dan kakitangan yang akan melaksanakan tugasan-tugasan bersifat teknikal bagi memastikan kelangsungan jangka masa panjang.

Selain di Pejabat Agung PAS Pusat, Muslimat PAS juga menyerahkan sumbangan duit raya kepada petugas belakang tabir Harakah yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan segala berita dan informasi sampai kepada masyarakat.

Turut bersama dalam majlis meraikan ini adalah Pengarah Strategik Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan. – HARAKAHDAILY 22/5/2020

- Advertisement -