ALOR SETAR: Kerajaan Negeri sentiasa cakna dan prihatin dalam usaha menambah baik usaha pembangunan belia di Kedah, khususnya untuk melaksanakan program-program belia dengan mewujudkan Sekretariat Belia Sejahtera Negeri Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Penggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Mat Din berkata, untuk 2025, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi menyelaraskan program-program belia dibawah tiga teras utama yang ditetapkan.
Jelasnya, teras satu merangkumi Program Pembangunan 3K iaitu Kemahiran, Keusahawan, Kompetensi serta inovasi di mana antara yang dicadang akan dijalankan pada tahun ini bagi mencapai objektif pendedahan kemahiran atau ‘soft-skills and upskilling’.
“Antaranya Kursus Keusahawanan dan Kemahiran Belia Sejahtera yang memfokuskan kepada pengasahan bakat atau kemahiran spesifik yang dilihat relevan untuk dikuasai pada masa kini.
“Sebagai contoh, pada tahun lepas kami telah berjaya melaksanakan beberapa kursus kemahiran seperti Kursus Menggunting Rambut, Kursus Pengaplikasian Kecerdasan Buatan (AI) serta Kursus Pembuatan Produk Berasaskan Coklat,” jelasnya.
Beliau menjawab soalan Baddrol Bakhtiar (PAS-Gurun) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Baddrol pada soalannya, inginkan penjelasan berkenaan peruntukan bagi memperkasakan belia serta perancangan kerajaan bagi memperkasakan belia khususnya untuk tahun ini.
Kata Radhi, Sekretariat Belia Sejahtera Negeri Kedah yang diwujudkan adalah lebih kepada secara sukarela tanpa elaun bulanan, namun mampu bergerak lancar dan mencapai aspirasi dalam usaha pembangunan belia.
Justeru, katanya, teras dua iaitu Membina Kepimpinan dan Kefahaman Demokrasi, telah disusun bagi mengetengahkan ketokohan kepimpinan anak muda sebagai pemimpin masa depan.
“Pihak sekretariat juga telah merancang untuk melaksanakan Simposium Kepimpinan Belia Kedah yang merupakan inisiatif penting dalam memperkasa peranan belia sebagai pemimpin masa depan negeri.
“Konsep utama simposium ini adalah untuk menyediakan platform kepada belia untuk berkongsi pandangan, membina jaringan kerjasama dan meningkat kemahiran kepimpinan.
“Selain itu, di bawah teras ini juga turut dicadang untuk dikekalkan pelaksanaannya adalah ‘Kayuhan Jelajah Jiwa Merdeka: Experience Kedah 2025’ bersempena dengan sambutan kemerdekaan dan Tahun Melawat Kedah 2025,” tambah beliau.
Sementara, untuk teras tiga, iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan, ujarnya, beberapa program utama telah dianjurkan seperti Karnival Futsal Komuniti Sejahtera 2.0, Piala YB Exco Belia Sukan, Kedah E-Sport Challenge dan Kejohanan Badminton Piala Menteri Besar Kedah.
Kesemua program belia itu, jelas beliau, mendapat sambutan amat menggalakkan terutama dalam kalangan anak muda, justeru sekretariat bercadang untuk terus melaksanakan program-program sedemikian dan beberapa lagi program sukan dan riadah yang melibatkan semua golongan.
Oleh yang demikian kata beliau, melalui peruntukan khas yang disalurkan oleh pihak kerajaan, Sekretariat Belia Negeri dilihat mampu bergerak lebih lancar dan mencapai aspirasi dalam usaha pembangunan belia.
Di samping sentiasa cakna dan mengambil perhatian usaha melahirkan genarasi pelapis yang aktif, sihat, berwawasan, bersatu-padu dan berdaya saing sejajar dengan arus pembangunan pada masa kini.
Dalam pada itu, Radhi turut menjelaskan Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) telah memperkenalkan program Skill Belia Sejahtera.
Melalui program latihan kemahiran itu jelasnya,dapat membantu golongan belia dan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) negeri ini terutama yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian di mana-mana institusi pendidikan.
“Program ini dikendalikan sepenuhnya oleh Syarikat Kulim Advanced Technologies Sdn Bhd (KTechno) iaitu anak syarikat milikan penuh Kulim Technolgy Park Corporation Sdn Bhd (KTPC).
Pada 2024, seramai 25 orang pelatih yang merupakan perintis kumpulan pertama di bawah ‘Program Skill Sejahtera’ dan meningkat kepada 50 orang pelatih pada tahun ini,” tambah beliau lagi.
Selain itu, program itu juga katanya, untuk menampung keperluan tenaga kerja mahir selaras dengan pembangunan industri di Malaysia, sementara para pelatih yang tamat pengajian akan diberi peluang untuk menjawat jawatan di kilang-kilang sekitar Kulim Hi-Tech Park (KHTP), selepas tamat latihan. – HARAKAHDAILY 21/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!