IPOH: Kerajaan Negeri Perak digesa mengadakan libat urus bersama pengurusan maahad tahfiz di seluruh negeri ini susulan perubahan kadar kod tarif air yang dilaksanakan oleh Lembaga Air Perak (LAP) terhadap institusi tersebut.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Selama, Mohd Akmal Kamarudin berkata, perubahan kod tarif daripada 41, iaitu kategori rumah ibadat dan institusi kebajikan kepada 21, iaitu kategori bukan domestik, nyata membebankan pengurusan maahad tahfiz.
“Perubahan tersebut mengakibatkan peningkatan bayaran bil air bulanan bagi sebuah maahad tahfiz antara RM500 hingga RM1,000. Maahad tahfiz memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat berilmu dan berakhlak mulia.
“Ia beroperasi tanpa tujuan keuntungan, bergantung kepada sumbangan masyarakat dan bersifat kebajikan. Perubahan kod tarif ini menimbulkan kesulitan dalam aspek pengurusan kewangan mereka,” katanya, semalam.
Tambah beliau, perubahan tersebut telah menyebabkan maahad tahfiz terpaksa mengutamakan pembayaran utiliti yang sering kali mengganggu kelancaran aktiviti pendidikan akibat pendapatan yang terhad.
“(Sedangkan) Pengurangan kos bil air maahad tahfiz boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti pendidikan, penyelenggaraan serta menyokong pelajar-pelajar miskin,” ujarnya.
Justeru, beliau meminta pihak LAP supaya mengembalikan semula kod tarif 41 kepada maahad tahfiz memandangkan peranan institusi tersebut adalah selari dengan rumah ibadat dan institusi kebajikan.
Selain mencadangkan agar satu tarif khas diwujudkan khusus untuk maahad tahfiz dengan kadar yang tidak membebankan. – HARAKAHDAILY 19/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!