Adakah bekas pesakit COVID-19 masih jangkiti orang lain?

- Advertisement -

DOKTOR. saya bekas pesakit COVID-19 (kuarantin Mei 2021). Sekarang saya masih kuarantin kendiri. Soalan saya:

1. Saya masih ada simptom batuk (asma), adakah saya boleh menjangkiti orang lain?


Pesakit COVID-19 yang telah disahkan sembuh (negatif ujian PCR) sudah tidak menjangkiti orang lain. Virus sudah tiada dalam badan anda. Tetapi risiko dijangkiti semula tetap ada walaupun antibodi semulajadi telah diperolehi melalui jangkitan COVID-19.

- Advertisement -

Satu laporan kajian dalam jurnal Lancet, mendapati bagi kes yang sudah pun positif boleh mengurangkan jangkitan semula sehingga 84 peratus dan mengurangkan gejala apabila dijangkiti semula sehingga 93 peratus. maknanya risiko untuk dijangkiti semula itu wujud 16 peratus.

Manakala Public Health England mengeluarkan kenyataan kajian terbaru yang menyatakan bahawa hasil kajian sebanyak 25,661 orang kes yang sebelum ini pernah dijangkiti COVID-19, mendapati bahawa dalam tempoh 4 minggu sahaja jumlah antibodi masih lagi wujud dalam 91.2 peratus individu, 7 peratus didapati tidak wujud antibodi dan 1.8 peratus dijangkiti semula oleh COVID-19.

2. Saya sudah dibenarkan keluar setelah memotong gelang (alasan KKM sudah tidak menjangkiti orang). Bagaimana hendak menghilangkan takut orang kepada bekas pesakit COVID-19?

Stigma ketakutan masyarakat kepada individu yang telah dijangkiti oleh COVID-19 dan sebenarnya bebas ini berlaku di mana-mana sahaja bukan dalam negara kita. Sepatutnya ianya tidak berlaku kalau kita benar-benar faham apa itu jangkitan COVID-19 dan kesembuhan yang telah pun disahkan oleh pihak berkuasa.

Namun sifat dan perangai manusia tidak boleh diubah mempunyai perasaan dan ketakutan yang melampau sehinggakan bekas pesakit COVID-19 pun dituduh masih lagi membawa virus tersebut. Sebagai masyarakat yang harmoni, kita perlu faham bahawa perkara ini adalah mitos dan jangan sesekali meminggirkan mereka di dalam kelompok masyarakat yang besar kerana ianya akan mendatangkan kesan negatif kesihatan mental bagi mereka. Teruskan pergaulan kita dengan mereka mengikut norma baru yang telah pun ditetapkan oleh pihak berkuasa, sama seperti pergaulan kita dengan orang lain.

3. Adakah vaksin akan diberikan lebih awal kepada bekas pesakit COVID-19? Untuk mengelakkan penularan?

Bekas pesakit COVID-19 tidak akan menjangkiti orang lain andai kata ianya negatif COVID-19. Negatif bermakna negatif dan tidak membawa virus itu dalam badan. Bahkan beliau telah pun mempunyai satu kelebihan lain, kerana beliau sudah mempunyai sistem pertahanan badan atau antibodi khusus terhadap COVID-19.

Cuma bagi bekas pesakit COVID-19 dinasihatkan untuk mengambil juga vaksin selepas 3 bulan dijangkiti oleh COVID-19. Kajian mendapati juga bahawa antibodi semulajadi yang terbentuk itu akan berkurangan mengikut masa.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 7/6/2021

Rujukan:
Mary Van Beusekom. Previous COVID-19 may cut risk of reinfection 84%. CIDRAP News, University of Minnesota. Apr 12, 2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -