Hargai usaha PDRM tangani salah guna dadah

- Advertisement -

JERAI: Ketangkasan pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam membenteras penyalahgunaan dadah, dipuji dan amat dihargai Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim.

- Advertisement -

Menurut beliau, usaha penguatkuasaan dilaksanakan oleh pihak PDRM tersebut amat dipuji sejajar dengan matlamat memerangi najis dadah di negara kita.

“Kejayaan ini membuktikan pasukan PDRM bersungguh-sungguh menangani masalah penggunaan dadah yang jelas membawa kerosakan terutama kepada generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Jerai kali ke-20, di Sekolah Rendah Integrasi Al-Faizin (SAIF), Guar Chempedak, di sini semalam.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, dalam kenyataannya berkata, Pendang antara daerah yang tertinggi kes penyalahgunaan dadah, dengan 1,798 individu bagi setiap 100,000 penduduk.

Beliau juga berkata, daripada jumlah itu menunjukkan peningkatan daripada 1,333 kes penyalahgunaan dadah bagi setiap 100,000 penduduk yang dilaporkan pada tahun sebelumnya.

Mengulas lanjut, kata Datuk Awang, sebagai Ahli Parlimen kawasan berkenaan, perkara itu juga menjadi matlamat bersama agar penyalahgunaan dadah ini dapat dibenteras bukan sahaja di Pendang, sebaliknya di seluruh negara.

“Kita juga tidak mahu, anak-anak muda kita, tak kiralah bangsa, kaum atau agama apa sekalipun, terlibat dengan najis dadah. Tiada manfaat apapun, hanya membawa kerosakan.

“Saya puji ketangkasan pasukan keselamatan dan bagi saya, usaha ini adalah yang terbaik,” tambah beliau.

Berikutan itu juga, beliau tidak lupa merakamkan penghargaan kepada kepada semua yang terlibat termasuk Pegawai Daerah dan orang ramai  atas kerjasama yang tidak berbelah bahagi dalam usaha memerangi najis dadah ini,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 19/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!