Fi’il madhi dan fi’il mudhori’

- Advertisement -

KETIKA Dr Sam sudah berjaya menunaikan 20 janji manifesto lalu, sudah memberikan tanah kepada rakyat yang layak dan sekarang berusaha dan berjuang mengambil semula hak royalti milik rakyat Terengganu dengan pelan menubuhkan Petroleum Terengganu, mereka gelarkan Dr. Sam sebagai MB ‘bakal’.

Ini kerana usaha Dr. Sam untuk menjadikan Terengganu agar berjaya menjalankan perniagaan minyak dan gas, melipatkan gandakan tenaga bagi menjana pendapatan baharu untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak kata mereka sebagai angan-angan dan mahu menipu rakyat. Tiada sokongan langsung, tetapi cuba menjatuhkan pula. 

Sedangkan di sebelah mereka, PMX sudah tidak menunaikan seluruh rakyat berkenaan janji bayaran royalti, penurunan harga minyak, tender terbuka, peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat, tidak menggunakan agensi kerajaan semasa berkempen dan menurunkan harga kereta.

- Advertisement -

Tidak lupa janji penghapusan bayaran balik PTPTN, tidak melantik ahli politik dalam GLC serta janji berkenaan isu-isu rasuah, penghapusan bayaran tol, dan kebebasan akhbar yang mana kedudukan Malaysia sudah kebelakang

Sementara itu PMX juga mengumumkan beberapa projek, pelaburan yang ‘bakal’ masuk ke Malaysia, sebaliknya pelabur luar pula yang telah menarik keluar pelaburan mereka lebih 25 minggu berturut-turut dengan jumlah keseluruhan bernilai RM2 bilion dan nilai ringgit semasa yang tetap tidak stabil. 

Sebagai manusia yang waras, antara dua pilihan dan dua perbuatan ini, mana yang lebih mulia dan betul? Yang sudah nyata membuat salah? Atau yang sudah kita lihat hasil baik dan jahatnya? Adakah tindakan yang betul jika kita membuat spekulasi negatif kepada orang yang mempunyai rekod yang baik?

Jika kita belajar bahasa Arab, perbuatan yang lepas kita panggil fi’il madhi dan yang sekarang pula disebut fi’il mudhori’. Sudah tentu dalam fi’il madhi ini hasil perbuatan itu sudah kita dapat lihat dengan jelas dan fi’il mudhari’ ini pula, kita belum tentu tahu bagaimanakah hasil yang akan kita dapat nanti.

Namun semua pembenci Dr. Sam mendakwa beliau ‘akan’ menipu rakyat Terengganu dengan segala perancangan beliau yang sedang berjalan atau sedang dirancang itu. Dan tetap memberikan watak jahat terhadap beliau walaupun terbukti Dr. Sam telah berjaya menunaikan janji-janji beliau kepada rakyat. Susah hati betul mereka jika tahu Dr. Sm ada idea baharu yang baik untuk rakyat. 

Pentaksub PMX pula melihat semua janji-janji PMX yang telah dimungkiri itu sebagai ‘tidak mengapa’ kerana tidaklah janji-janji itu sebagai yang perlu ditunaikan, apatah lagi kepada yang tidak menyokong PMX, walaupun mereka adalah rakyat Malaysia yang sah dan mempunyai hak yang sama dengan penyokong PMX.

Dan segala perancangan masa hadapan adalah harapan yang bakal PMX kotakan kepada rakyat, walaupun telah nyata berlaku penipuan manifesto sebelum ini. Apa juga tindakan yang menyerupai tindakan salah laku Umno sebelum ini, sekarang dianggap mereka sebagai tindakan yang wajar, demi untuk negara.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 19/4/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!