MB Terengganu tonjol wajah politik matang, progresif

Dr Balachandran Gopal Krishnan
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Terengganu menyifatkan ucapan penggulungan Menteri Besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, menyerlahkan kematangan politik yang tinggi Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ketua DHPP Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, Menteri Besar dengan tenang menjawab kritikan secara terbuka dan berlapang dada, sambil menegaskan bahawa semua pandangan walaupun dari luar DUN adalah penting untuk diteliti dengan penuh hikmah.

- Advertisement -

Katanya, sifat kemurahan hati Menteri Besar terserlah apabila mengiktiraf usaha kerajaan terdahulu tanpa merendahkan mereka, bahkan mengajak semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk bergerak sebagai satu pasukan demi kemajuan Terengganu.

“Pendekatan beliau yang rendah diri jelas, antaranya melalui kisah peribadi ketika menolak menggunakan kemudahan VIP (orang kenamaan) semata-mata kerana mahu mendidik anak-anak tentang tanggungjawab dan keutamaan, bukan keistimewaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Balachandran berkata, lebih penting ialah Menteri Besar melontarkan gagasan reformasi yang progresif, terutama dalam hubungan negeri dan Persekutuan.

Menurutnya, Ahmad Samsuri meminta agar sistem Federalisme berpusat diubah kepada Federalisme bekerjasama, iaitu satu bentuk kerjasama dua hala yang lebih matang, terbuka dan adil antara kerajaan negeri dan Pusat demi menjamin pembangunan yang seimbang dan kestabilan politik berkekalan.

“Inilah wajah kepimpinan yang kita perlukan, iaitu Menteri Besar yang berjiwa rakyat, berpandangan jauh dan berani membawa reformasi sistemik demi menjayakan agenda Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera. – HARAKAHDAILY 18/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!