Bayern Munich tidak minat Ronaldo

Pemain Portugal, Cristiano Ronaldo mahu tinggalkan Manchester United
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Bayern Munich tidak berhasrat untuk menandatangani Cristiano Ronaldo dari Manchester United pada musim panas ini, dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Oliver Kahn, menegaskan bahawa pemain berusia 37 tahun itu tidak sesuai dengan falsafah kelab ternama Jerman itu.

Mengikut laporan ESPN Soccer, Ronaldo telah memaklumkan kepada United mahu berpindah ketika jendela perpindahan, dengan Bayern, Chelsea dan Napoli, antara destinasi berpotensi.

- Advertisement -

Menurut Kahn, Bayern tidak akan mengatur langkah untuk mendapatkan pemain hebat Portugal itu.

“Saya memandang tinggi Cristiano Ronaldo sebagai antara yang terbaik dalam dunia bola sepak, tetapi perpindahan ke Bayern tidak sesuai dengan falsafah kami,” katanya kepada majalah Jerman, Kicker.

Serangan Bayern telah lama diterajui oleh Robert Lewandowski yang prolifik, namun pemain berusia 33 tahun itu memberitahu juara Bundesliga itu bahawa dia mahu meninggalkan Allianz Arena pada musim panas ini.

Sumber memberitahu ESPN Soccer bahawa Barcelona membuat tawaran ketiga bernilai lebih €40 juta (RM180 juta) untuk Lewandowski minggu lalu. Namun, Kahn secara terbuka menegaskan bahawa penyerang Poland itu bukan untuk dijual.

United juga menegaskan bahawa Ronaldo, yang menjaringkan 24 gol musim lalu, tidak berada dalam senarai perpindahan dengan pengurus baharu, Erik ten Hag, mengharapkan pemain itu terus menjadi sebahagian skuad musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bayern Munich, Oliver Kahn, pandang tinggi Cristiano Ronaldo, tetapi tidak sesuai untuk kelab Jerman itu.

Bagaimanapun sumber memberitahu ESPN Soccer bahawa sebenarnya pendirian itu lebih lembut dengan United lebih suka Ronaldo berpindah ke luar negara daripada menyertai saingan Liga Perdana, Chelsea. Ronaldo mempunyai baki setahun dalam kontraknya di Old Trafford dengan pilihan setahun lagi.

Ronaldo pula berminat untuk terus bermain dalam Liga Juara-Juara dan bersaing untuk anugerah utama pada peringkat akhir kerjayanya. United terlepas kelayakan ke saingan utama Eropah dan sekali lagi terpaksa menapak dari bawah bersama Ten Hag.

Pemain Portugal itu sepatutnya memulakan latihan bersama pemain antarabangsa United yang lain di Carrington, Isnin lalu, tetapi diberi kebenaran oleh kelab untuk berehat lebih lama kerana faktor keluarga.

Skuad itu dijadualkan terbang ke Bangkok, esok, tetapi sumber memberitahu ESPN Soccer bahawa Ten Hag belum tahu sama ada Ronaldo bercadang untuk berlatih di Manchester minggu ini atau bersedia untuk menyertai jelajah itu. – HARAKAHDAILY 7/7/22

- Advertisement -