Pemenang tiga kejuaraan semusim, Manchester City bersedia melepaskan kapten pasukan, Ilkay Gundogan dan Benjamin Mendy apabila kontrak mereka tamat bulan ini selepas kelab Liga Perdana Inggeris itu menyatakan mereka termasuk dalam senarai pemain yang boleh berpindah secara percuma.
Gundogan pula membisu mengenai masa depannya selepas memimpin kelab itu menjulang piala Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara musim ini, dengan pemain antarabangsa Jerman itu dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal dan Barcelona.
Pemain berusia 32 tahun itu terbukti menjadi pemain utama dalam kejayaan City meraih tiga kejuaraan, memenangi 14 piala di kelab itu, termasuk lima kejuaraan liga selepas perpindahannya dari kelab Bundesliga, Borussia Dortmund pada 2016.
Mendy tidak bermain untuk City sejak Ogos 2021 selepas digantung bermain berikutan penahanannya atas tuduhan rogol dan serangan seksual.
Pemain berasal dari Perancis yang ditandatangani pada 2017 dengan bayaran kira-kira 52 juta Pound (AS$66.63 juta), didapati tidak bersalah atas enam pertuduhan merogol dan satu pertuduhan serangan seksual pada Januari lalu. Namun, dia menghadapi perbicaraan semula bagi dua pertuduhan lain. – REUTERS
Man City sedia lepaskan Gundogan dan Mendy
- Advertisement -