Syor dijadikan RTP, untuk elak ‘musang berumah’ sekali lagi

Isu tanah diceroboh pekebun haram musang king di Raub

- Advertisement -

KUANTAN: Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyarankan perlunya langkah susulan daripada Kerajaan Negeri Pahang untuk memanfaatkan tanah haram yang dirampas bagi mengelak ‘musang berumah’ sekali lagi.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka berkata, sebagai cadangan boleh dipertimbangkan adalah tanah dirampas itu dijadikan kawasan penempatan sepertimana Rancangan Tanah Pemuda (RTP) di Lembah Klau.

“Selepas kerajaan negeri rampas tanah tu, kena buat sesuatu, kalau tidak mereka akan tanam semula. Kita cadang tanah yang diambil itu dibangunkan sebagai kawasan penempatan. Contoh, macam Rancangan Tanah Pemuda (RTP).

“Di Pahang ni, kita ada di Lembah Klau,” ujarnya beliau memberi pandangan langkah susulan terhadap tanah kebun durian musang king yang diceroboh pekebun haram selama berpuluh tahun dan dirampas kembali kerajaan di Raub.

Timbalan Presiden PAS itu turut mengimbau zaman dahulu apabila tanah-tanah haram dirampas, semua pokok getah sekelilingnya juga ditebang dengan khidmat bantu pasukan tentera dan dibuat Tanah Rancangan FELDA.

“Dulu, zaman (Menteri Besar Pahang, Dato’ Abdul) Rahim (Abu) Bakar, dirampas tanah-tanah haram di kawasan Triang, tebang semua getah bersama tentera, ambil alih, kemudian buat FELDA. FELDA-FELDA yang ada tu, sebahagian tanah-tanah dirampas daripada peneroka haram.

“Jadi, kita harap di Raub ke, di Bentong ke, atau di mana-mana tempat yang kawasan luas yang kerajaan rampas ni, kerajaan mesti buat sesuatu, kalau tidak pekebun tu akan usaha balik, tanam semula,” jelasnya.

Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dengan disertai pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah menjalankan operasi menebang pokok durian musang king di tanah yang diteroka tanpa kebenaran di Sungai Klau, Raub bermula 8 April lalu. – HARAKAHDAILY 17/4/2025

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!