Syaitan akbar menjadi pendamai 

- Advertisement -

AMERIKA Syarikat dan negara-negara sekutunya yang menubuhkan negara haram Zionis Israel pada tahun 1948 menjadi barisan hadapan dalam mengekalkan pengaruhnya terhadap dunia Islam. Namun begitu, mereka gagal menyelamatkannya daripada kesan Taufan al-Aqsa oleh kumpulan Islam yang dipimpin oleh Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah (Hamas). Hamas berjaya mengalahkan keangkuhan Israel meskipun Israel dibantu oleh senjata yang bertali arus oleh Syaitan Akbar dan bala tentera Ahzab yang dibentuknya.  

Israel mengalami kesan peperangan yang parah akibat Taufan al-Aqsa, sehingga mencetuskan perpecahan dalaman dalam kalangan pemimpin politik dan tentera. Hal ini mencetuskan permasalahan yang menyebabkan kekalahannya, walaupun tenteranya merupakan antara yang terkuat dan dipersenjatakan dengan teknologi paling canggih oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, termasuk senjata pemusnah yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa. 

Malah, Israel telah terbukti melakukan jenayah perang oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan beberapa persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun semuanya dikenakan veto oleh Amerika Syarikat dan sekutunya. Akhirnya, Israel cuba melakukan serangan balas bertali arus dengan bantuan tentera bersekutu yang juga menemui kegagalan.

Adapun negara-negara Arab dan Islam pula lebih banyak mengecewakan pejuang Islam Palestin yang terus berjihad dan semakin mendapat sokongan rakyat, umat Islam dan masyarakat antarabangsa yang berperikemanusiaan. 

- Advertisement -

Semua kumpulan termasuk negara yang berpihak kepada Hamas yang dikepung di Gaza disenaraikan sebagai pengganas. Republik Islam Iran dan Yaman yang terbuka membantu Hamas dan sekutunya −Tanzim Jihad, Hizbullah (Lubnan), Ansarullah (Yaman), kumpulan Iraq dan lain-lain− juga disenaraikan sebagai kumpulan pengganas atau pelampau. 

Amerika Syarikat dan negara-negara sekutunya telah mengerahkan bala tentera udara, tentera laut dan tentera darat dengan segala peralatan perang yang besar. Malah, sudah banyak pangkalannya yang wujud di Asia Barat, namun masih gagal menembusi pertahanan kumpulan yang bersama Hamas.

Sebelumnya, Amerika Syarikat yang dibantu beberapa buah negara cuba menjadi pendamai walaupun berpihak kepada Israel melalui cadangan Penyelesaian Dua Negara (Two-State Solution) bagi Palestin dan Yahudi. Begitu juga cadangan alternatif untuk memindahkan rakyat Palestin ke mana-mana negara dengan tawaran bantuan kewangan yang paling besar jumlahnya. Namun demikian, semua tawaran ditolak oleh rakyat Palestin dalam keadaan Israel terus berjuang menegakkan Negara Agung Israel (The Greater Israel) yang bercita-cita menakluk dunia.

Negara-negara Islam dan Arab turut dipengaruhi supaya mengiktiraf negara haram Israel atau melakukan hubungan normalisasi dalam pelbagai aspek dengan Israel. Ada negara yang menerima secara terbuka, dan ada juga yang bersembunyi mengadakan hubungan diplomatik, ekonomi, media dan sebagainya. 

Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) diiktiraf menjadi wakil rasmi rakyat Palestin walaupun ditolak oleh rakyat melalui pilihan raya, dalam keadaan sistem demokrasinya dikawal oleh Amerika Syarikat, sekutunya, dan Israel. Kemenangan majoriti oleh Hamas tidak diiktiraf, sebaliknya disenaraikan sebagai kumpulan pengganas. 

Hamas memerintah wilayah Gaza yang kecil dan padat penduduknya, namun dikepung dari segenap penjuru. Pada masa yang sama, mereka tetap tidak menyerah kalah walaupun menghadapi keganasan tentera Israel dan pendatang Yahudi yang bersenjata serta dikawal oleh tentera yang merampas rumah kediaman, perniagaan dan kebun yang dimiliki sejak beberapa generasi sebelum kedatangan Zionis menguasai kerajaan. 

Kemuncaknya, pihak pelampau Yahudi bertindak ganas apabila mengisytiharkan Bait al-Maqdis sebagai ibu negara Israel dengan sokongan Amerika Syarikat dan sekutunya. Lebih melampau lagi, mereka menceroboh Masjid al-Aqsa dan mengisytiharkan ingin merampasnya dan melakukan upacara korban bagi mendirikan Haikal Sulaiman (kuil agung penganut Yahudi). 

Allah mewajibkan umat Islam untuk berjihad sehingga mengangkat senjata dengan pertolongan-Nya. Firman Allah SWT:

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ ٣٩ ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠

“Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu. (39) (Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong-Nya (agama-Nya). Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40)” [Surah al-Hajj: 39-40]

Allah mendedahkan kezaliman kaum Yahudi yang melampau melakukan kejahatan dan kezaliman sehingga membunuh para anbiya’. Firman Allah SWT:

وَقَالَتِ ٱلۡيَهُودُ يَدُ ٱللَّهِ مَغۡلُولَةٌۚ غُلَّتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَلُعِنُواْ بِمَا قَالُواْۘ بَلۡ يَدَاهُ مَبۡسُوطَتَانِ يُنفِقُ كَيۡفَ يَشَآءُۚ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرٗا مِّنۡهُم مَّآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ طُغۡيَٰنٗا وَكُفۡرٗاۚ وَأَلۡقَيۡنَا بَيۡنَهُمُ ٱلۡعَدَٰوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَٰمَةِۚ كُلَّمَآ أَوۡقَدُواْ نَارٗا لِّلۡحَرۡبِ أَطۡفَأَهَا ٱللَّهُۚ وَيَسۡعَوۡنَ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَسَادٗاۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ ٦٤

“Orang-orang Yahudi berkata, ‘Tangan Allah terbelenggu.’ Sebenarnya, tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa-apa yang telah mereka katakan itu. (Tidak demikian), tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka; Dia menafkahkan sebagaimana Dia kehendaki. Dan al-Quran yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu sungguh-sungguh akan menambah kederhakaan dan kekafiran bagi kebanyakan antara mereka. Dan Kami telah timbulkan permusuhan dan kebencian antara mereka sampai Hari Kiamat. Setiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya, dan mereka berbuat kerosakan di muka bumi, dan Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan.” [Surah al-Ma’idah: 64]

Firman Allah SWT lagi:

… وَضُرِبَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ وَٱلۡمَسۡكَنَةُ وَبَآءُو بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّۗ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ ٦١

“…Ditimpakanlah kepada mereka nista dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Hal itu (terjadi) kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para Nabi yang memang tidak dibenarkan. Demikian itu (terjadi) kerana mereka selalu berbuat derhaka dan melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 61]

Mereka merosakkan kehidupan manusia dalam segala aspek seperti agama, politik, ekonomi, mahupun kebudayaan, menggunakan pengaruh, kekayaan harta, takhta dan media sehingga dapat menentukan pemimpin kuasa besar dunia yang zalim. Mana-mana pihak yang paling dilobi oleh gerakan Zionis akan dapat memerintah negara. 

Sesungguhnya, apa yang berlaku adalah ujian daripada Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:

تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢

“Maha Suci Allah yang dalam Tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1) Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun. (2)” [Surah al-Mulk: 1-2]

Hakikatnya, golongan Yahudi adalah Ahli Kitab yang paling tahu tentang kedatangan Islam dan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ ءَاتَيۡنَٰهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ يَعۡرِفُونَهُۥ كَمَا يَعۡرِفُونَ أَبۡنَآءَهُمۡۖ وَإِنَّ فَرِيقٗا مِّنۡهُمۡ لَيَكۡتُمُونَ ٱلۡحَقَّ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ ١٤٦ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡمُمۡتَرِينَ ١٤٧

“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami berikan al-Kitab (Taurat dan Injil) mengenali Muhammad seperti mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya, sebahagian antara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui. (146) Kebenaran itu adalah daripada Tuhanmu, sebab itu jangan sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu. (147)” [Surah al-Baqarah: 146-147]

Namun begitu, hanya sebilangan kecil daripada mereka memeluk Islam ketika Rasulullah SAW berdamai dengan kaum Yahudi di Madinah. Hal ini demikian kerana, Islam menjunjung konsep tiada paksaan dalam beragama dan berlaku adil kepada semua. Ajaran ini juga terdapat dalam kitab suci mereka, Taurat, yang telah ditinggalkan hukumnya. 

Mereka telah melakukan perbuatan khianat pada zaman Rasulullah SAW dengan menubuhkan tentera bersekutu (Ahzab) bagi menghapuskan Islam dan penganutnya. Pada zaman kini, mereka meneruskan bala tentera Ahzab bersama Amerika Syarikat dan sekutunya bagi merampas Palestin dan Bait al-Maqdis, bumi para anbiya’ yang telah diharamkan kepada mereka. Mereka melancarkan perang ekonomi, media dan senjata yang dapat disaksikan secara nyata. 

Maka, Allah SWT mewajibkan umat Islam untuk menentang mereka dengan pertolongan-Nya. Allah mewajibkan umat Islam bersedia dengan semua kekuatan iaitu ilmu, kuasa politik, ekonomi dan senjata. Firman Allah SWT:

وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠

“Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa-apa sahaja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang, (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu, dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa-apa sahaja yang kamu nafkahkan di jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]

Malangnya, kurniaan Allah kepada umat Islam dengan ajaran Islam yang terbaik dan tenaga manusia yang cukup, serta sumber alam yang diletakkan di lokasi terbaik dalam peta dunia, tidak diurus dengan baik mengikut hidayah Allah.

Namun demikian, Allah telah memberikan janji kemenangan kepada kalangan mereka yang ikhlas dan berusaha mengikut kemampuan masing-masing. Disebabkan itulah, muncul sebahagian kecil daripada tanah air Islam dan kumpulan Islam yang berusaha mengikut kemampuan mereka. 

Rasulullah SAW telah pun berjanji bahawa mereka akan muncul di Bait al-Maqdis dan sekelilingnya. Sabda Rasulullah SAW:

لَا ‌تَزَالُ ‌طَائِفَةٌ ‌مِنْ ‌أُمَّتِي ‌ظَاهِرِينَ ‌عَلَى ‌الْحَقِّ لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمُ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَائِهِمْ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ، وَهُمْ كَذَلِك.

“Akan lahir satu kumpulan dalam kalangan umatku yang bangkit dengan menegakkan kebenaran daripada Allah; mereka dimenangkan ke atas musuh mereka (tidak boleh dihapuskan oleh musuh mereka); dan mereka tidak boleh dimudaratkan oleh penentang mereka, namun mereka dihimpit dengan tekanan dan berjuang sehingga datang ketetapan Allah (Hari Kiamat); dan mereka tetap berada dalam keadaan yang demikian itu.”

Lalu, para sahabat bertanyakan Rasulullah SAW:

يَا رَسُوْلَ اللهِ وَأَيْنَ هُمْ؟

“Di manakah mereka berada, wahai Rasulullah?”

Rasulullah SAW bersabda:

بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.

“Di Bait al-Maqdis dan kawasan sekitarnya.” [Riwayat al-Bukhari, No. 3641, Ahmad, No. 22320 dan lain-lain. Lafaz hadis bagi Ahmad dalam Musnadnya]

Kemunculan kumpulan Islam di Palestin, dan negara-negara sekelilingnya menjadi tentangan terhadap Zionis yang merosakkan dunia.

Islam telah menempa sejarah agama yang menyelamatkan manusia, melalui kerajaannya yang berkuasa membawa keadilan Allah dan rahmat-Nya. Tugas ini dibawa oleh para anbiya’ yang menjadi musuh kepada Zionis dan bala tenteranya. 

Sesungguhnya, cahaya Islam tidak boleh dihapuskan. Disebabkan itulah, musuh Islam menentang semua kumpulan yang berjenama Islam tanpa mengira mazhab. Maka, kumpulan Islam daripada semua mazhab wajib bersatu menentang bala tentera Ahzab dan tentera Salib yang bersatu menentang kebangkitan Islam. Meledaknya Taufan al-Aqsa di Gaza iaitu negara yang berada dalam satu saf dengan kumpulan Islam adalah jihad yang masih hidup. 

Kegagalan Zionis dan kuasa besar dalam pasukan Ahzab memadamkan semangat Taufan al-Aqsa adalah disebabkan mesej Islam yang membawa rahmat melalui perdamaian dan peperangan mengikut petunjuk Allah. Hal ini sebagaimana firman-Nya:

وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]

Islam tidak melampaui batas dalam peperangan, hanya menyasarkan sasaran ketenteraan, dan melayan tawanan dengan berperikemanusiaan. Hal ini amat berbeza dengan keganasan melampau yang dilakukan oleh Zionis dan sekutunya. 

Perdamaian dalam Islam dilaksanakan dengan penuh kebijaksanaan, bukan dengan menipu. Berbeza dengan penyelesaian damai Amerika Syarikat bersama Zionis yang cuba berdamai dengan syarat-syarat yang nyata menipu dengan perangai syaitan yang bodoh dan zalim. 

Mereka mensyaratkan semua kumpulan Islam dihapuskan dan dilucutkan senjatanya, manakala Gaza pula ditadbir oleh kumpulan Palestin yang menjadi boneka mereka. Adapun Israel yang zalim dan melampau ganasnya dibekalkan senjata lebih banyak lagi dan dibantu sepenuhnya oleh pendamai.

Sedarlah wahai umat Islam! Betapa ‘Syaitan Besar’ itu telah mengisytiharkan perang terhadap Islam. Maka, biarkan kumpulan kafir dan munafiq pergi jahanam di dunia dan di akhirat.

Firman Allah SWT:

قَالَ إِنَّكَ مِنَ ٱلۡمُنظَرِينَ ١٥ قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِي لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٰطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ١٦ ثُمَّ لَأٓتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَٰنِهِمۡ وَعَن شَمَآئِلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَٰكِرِينَ ١٧ قَالَ ٱخۡرُجۡ مِنۡهَا مَذۡءُومٗا مَّدۡحُورٗاۖ لَّمَن تَبِعَكَ مِنۡهُمۡ لَأَمۡلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكُمۡ أَجۡمَعِينَ ١٨

“Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, kamu termasuk kalangan mereka yang diberikan tempoh tangguh.’ (15) Iblis menjawab, ‘Kerana Engkau telah menghukumku tersesat, aku benar-benar akan (menghalangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus. (16) Kemudian, aku akan mendatangi mereka dari hadapan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).’ (17) Allah berfirman, ‘Keluarlah kamu dari syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir. Sesungguhnya, sesiapa antara mereka yang mengikuti kamu, benar-benar Aku akan mengisi neraka Jahannam dengan kamu semuanya.’ (18)” [Surah al-A‘raf: 15-18]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 18 Syawwal 1446 / 17 April 2025
[Bil: 27 / 2025] - HARAKAHDAILY 17/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!