‘Mustahil hanya ‘seekor jerung’ yang terlibat’

Isu tambakan laut dan konsesi pasir di Melaka

- Advertisement -

AYER KEROH:  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat bukan sahaja individu yang ditahan berkaitan konsesi tambakan laut, tetapi juga Ketua Menteri ketika itu dan pemimpin Umno terlibat dalam peranan meluluskan projek terbabit.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub menegaskan demikian merujuk kepada laporan media berhubung penahanan Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, oleh SPRM berkaitan dakwaan rasuah kes tersebut.

Media melaporkan, bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara yang juga mantan Ketua Umno Bahagian Tangga Batu itu ditahan SPRM bagi kes pemberian konsesi tambakan laut antara tahun 2021 hingga 2023, ketika kerajaan negeri ditadbir Barisan Nasional (BN).

- Advertisement -

Tegas Yadzil, isu itu bukan baharu memandangkan Presiden Laskar Siber Malaysia, Datuk Lokman Adam sudah pun membuat laporan dan menyerahkan bukti kepada SPRM sejak Oktober 2021 mengenai kemungkinan berlakunya penyelewengan.

“Ketika itu, Melaka berada di bawah Kerajaan BN dan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Ali. Secara tiba-tiba cerita lama ini muncul semula, mungkin kerana Datuk Seri Ali tidak lagi berada dalam Umno dan mungkin juga kerana dia sudah menyertai Bersatu dan Perikatan Nasional.

“Mungkin sekiranya Datuk Seri Ali masih berada di dalam Umno, ceritanya sudah jadi berbeza. Ini baru cebisan awal drama yang terkait dengan konsesi tambakan laut di Melaka,” katanya beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Yadzil mempersoalkan mengapa hanya Mohamad Ali disiasat walaupun beliau tidak lagi mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan negeri atau Pusat.

“Kalau ada yang menerima pasti ada yang memberi. Kalau ada yang memohon pasti ada yang meluluskan. Mustahil hanya ‘seekor jerung‘ yang terlibat. Mustahil pihak kerajaan negeri pada ketika itu tidak terlibat sama sekali,” katanya.

Beliau turut menimbulkan beberapa persoalan berkaitan siasatan SPRM, antaranya sebab Sulaiman Ali tidak disiasat sedangkan beliau adalah Ketua Menteri ketika itu dan tiada tindakan terhadap Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang ketika itu memegang jawatan Pengerusi Umno Negeri.

“Siapa Exco atau Timbalan Exco dari Umno yang terkait dengan kelulusan konsesi tambakan laut? Kenapa Datuk Seri Utama Idris Harun (mantan Ketua Menteri) tidak disiasat sedangkan nama beliau disebut dalam laporan Polis dan SPRM berkaitan kes ini?” persoalnya.

Sehubungan itu, beliau menuntut agar SPRM menyiasat isu berkenaan secara menyeluruh, telus dan adil tanpa sebarang prejudis, termasuk semua pihak terbabit sama ada sebagai pemberi, penerima atau yang bersubahat.

“Tuntaskan segera siasatan isu konsesi pasir yang telah timbul sejak sebelum PRN Melaka 2021 yang lalu dan yang menjadi antara punca kemelut politik di Melaka sehingga terbubarnya DUN Melaka waktu tempoh PKP tiga tahun lalu.

“Semua yang terlibat harus didedahkan kepada umum agar rakyat Melaka terutamanya siapa dalang di sebalik isu pasir di Melaka,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!