Perang proksi soldadu media

- Advertisement -

SAYA nukilkan sebelum ini bahawa media sosial sudah menjadi medan perang proksi polar politik. Ia mengerikan, dan menggusarkan. Hari ini, perang proksi beralih pula antara soldadu-soldadu pempengaruh (influencer). Sang pempengaruh yang ‘hidup’ atas kandungan (content) dan tanda suka (like) pula berusaha keras mencari kandungan untuk melebarluas empayar pengikutnya.

- Advertisement -

Tentunya kandungan yang diminati pengikut adalah seperti berikut:

1. Kisah perjuangan ikhlas membangun diri menggunakan swadaya yang ada. Seorang pemandu Grab meredah kota mencari rezeki, seorang ibu tunggal mengambil upah menyara 7 anak dan sebagainya.

2. Usaha-usaha murni membantu masyarakat yang kesempitan, dengan cara yang langsung dan tidak berprotokol. CEO syarikat besar menyingsing lengan membantu pakcik tua yang kemalangan, terjah dan sedekah ke mana-mana rumah anak yatim dan sebagainya. 

3. Pendedahan eksklusif isu-isu kebobrokan masyarakat dan aktiviti jenayah yang mengaburi mata. Pendedahan kes skim penipuan oleh artis ternama, pendedahan kes pembulian di asrama tahfiz dan sebagainya.

Kandungan sebegini memikat pembaca, lantas menarik sokongan dan tanda suka. Lama kelamaan, si pempengaruh mewujud empayar penyokong yang taksub kepadanya. Rela menjadi soldadu media.

Akhirnya, jika ada teguran atau pendapat berbeza, maka soldadu media ini akan mainkan peranannya. Menyerang si pengkritik atau kem sana dengan mortar komen dan peluru berpandu nista. Bagi mereka, pempengaruh mereka ‘maksum kandungannya’. 

Pertempuran sebeginilah yang amat-amat merugikan kita:

1. Hingga kita keliru yang mana kaca mana permata. Kebenaran sudah tidak jadi pancang utama dalam berkomunikasi. Siapa lebih baik kandungan, dia lebih benar.

2. Hingga emosi kita tercalar. Marah, kecewa dan tertekan melayari media sosial.

3. Hingga membawa kepada bahasa-bahasa kesat dan ugutan. Kebaculan di balik papan kekunci hanya melahirkan masyarakat penuh syak wasangka.

Ya, begitulah ruang yang baik boleh disalahguna. Maka, letaklah kebenaran di tempat tertinggi. Itu sahajalah yang menjamin kesihatan pemikiran dan ketenangan dalam menggunakan media sosial. Anda tidak kalah jika akur di pihak yang silap untuk sesuatu isu. Anda tidak hina jika akur idola dan pempengaruh anda buat kesilapan.

Kepada si pempengaruh – kandungan terbaik adalah kebenaran. Kalau salah minta maaf, kalau isu menjadi panas, bersemukalah dan jangan hanya berselindung di balik papan kekunci, dan menggalak soldadu media anda terus ‘berbunuhan’. Kerana perang itu pastinya berakhir dengan, yang kalah jadi arang, yang menang jadi abu.

YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 21/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1460461665/posts/10225296773313931/

- Advertisement -