Chow digesa letak jawatan, DAP patut keluar kerajaan

- Advertisement -

TAPAH: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa DAP agar mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui berhubung insiden biadab menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas pada minggu lalu.

“(Bahkan) DAP sepatutnya keluar daripada kerajaan. Kalau DAP tidak boleh pertahan peraturan (undang-undang), dia tak layak bersama kerajaan jadi parti yang memerintah,” tegasnya yang juga Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut mendesak Chow meletak jawatan kerana tidak layak bergelar Ahli Yang Berhormat setelah secara jelas bertindak mencemar kehormatan status dirinya dan dalam masa sama membela orang bersalah.

- Advertisement -

“Kita desak Ahli Parlimen Raub itu meletak jawatan sebab dia tak layak, dia tidak mencerminkan sifat parti bersama kerajaan dan dia membela orang bersalah,” ujarnya Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka, Pahang itu.

Beliau mengulas demikian ketika ditemui wartawan usai membuat lawatan di Bilik Operasi Unit Daerah Mengundi (UDM) Sungai Lesung sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, di sini petang kelmarin.

Chow dalam insiden tersebut dikatakan telah bertindak mengetuai bantahan para pekebun haram terhadap operasi yang dijalankan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dengan disertai pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

UPNP telah menjalankan penebangan pokok durian musang king di tanah yang diteroka tanpa kebenaran di Sungai Klau, Raub bermula 8 April lalu dan operasi penguatkuasaan itu dijangka berlangsung sehingga 3 Mei depan.

Operasi dijalankan itu bagaimanapun mencetuskan pelbagai reaksi balas terutama daripada para pekebun haram terlibat apabila mereka melakukan bantahan dan mendakwa penguat kuasa telah melanggar perintah mahkamah.

Kerajaan Negeri Pahang bagaimanapun menafikan dakwaan para pekebun haram terbabit bahawa operasi dijalankan dengan menebang kira-kira 200 pokok durian musang king di tanah tersebut sebagai melanggar perintah mahkamah.

Ekoran tindakan menghalang tugas penjawat awam itu Chow dan Pengerusi Save Musang King Alliance (SAMKA), Wilson Chang yang mengetuai bantahan itu telah ditahan polis bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Pejabat Tanah Daerah Raub dan Jabatan Perhutanan Pahang sebelum ini pernah mengeluarkan notis pengosongan tanah yang telah ditanam pokok durian musang king di sekitar Raub, termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau yang dianggarkan seluas 2,167 hektar.

Bagaimanapun pihak pekebun haram tersebut telah membawa kes ke Mahkamah Tinggi Kuantan memohon untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah yang dikeluarkan terhadap mereka itu.

Mahkamah dalam keputusan mendapati pekebun terlibat disifatkan sebagai penceroboh di tanah berkenaan, sekali gus mereka tidak mempunyai ‘locus standi’ (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman itu.

Hakim mendapati, keputusan pentadbiran Pejabat Tanah Daerah Raub dan keputusan Pengarah Perhutanan Pahang mengeluarkan notis pengusiran ke atas tanah itu adalah tidak tercemar dengan sebarang kecacatan undang-undang, ketidakrasionalan atau niat jahat.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah bertitah agar keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan itu dihormati ketika ucapan titah perasmian Persidangan Dewan Negeri Pahang pada 6 Mei tahun lalu.

Sehubungan itu juga, baginda Sultan turut bertitah mengingatkan Kerajaan Negeri Pahang menerusi UPNP agar tidak gusar dan terus proaktif bagi memperkasakan tindakan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

Titah baginda dalam isu sama berulang sekali lagi hingga mengungkapkan ‘panas hati’ kerana banyak tanah negeri itu diceroboh ketika bertitah di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bantal Ulu Tembeling, Jerantut pada 13 April baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 17/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!