TCO: Apa mesej kita beri kepada generasi muda?

Kawalan Perjalanan terhadap MB Terengganu

- Advertisement -

KANGAR: Penahanan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar oleh pihak Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebelum ini telah mencetuskan pelbagai reaksi.

- Advertisement -

Insiden itu turut menimbulkan persoalan sama ada ia sekadar kekeliruan dari segi prosedur, atau terdapat mesej tersirat yang lebih besar sedang disampaikan khususnya kepada generasi muda negara.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Malaysia Berhad, Dato’ Ridza Abdoh Salleh menyifatkan layanan terhadap seorang pemimpin negeri yang dipilih secara sah oleh rakyat sebagai satu isyarat membimbangkan terhadap nilai dan budaya politik negara.

“Meskipun hanya ditahan selama satu jam dan dibebaskan tanpa sebarang tuduhan, insiden ini menimbulkan persoalan besar tentang nilai-nilai asas dalam pentadbiran serta hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Kalau dokumen seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) boleh dijadikan alasan untuk bertindak sesuka hati tanpa pertimbangan akal budi, kita sedang mengajar generasi akan datang bahawa kuasa lebih penting daripada nilai.

“Perbezaan pandangan politik bukan lesen untuk menghina atau memperlakukan sesama pemimpin dengan cara yang tidak beradab. Jika kita tidak mampu menjaga maruah antara pemimpin, bagaimana mahu rakyat hormat kepada institusi negara?” soalnya.

Cerminan kepada anak muda

Ujarnya lagi, anak-anak di sekolah diajar untuk menghormati perbezaan, mengamalkan toleransi dan meraikan kepelbagaian sebagai asas keharmonian.

Namun, tindakan terhadap seorang pemimpin negeri seperti itu katanya, seolah-olah menunjukkan teladan yang songsang daripada para pemimpin atasan.

“Politik tanpa akhlak, kepimpinan tanpa nilai itu sangat membahayakan. Dalam era penuh cabaran ini, negara memerlukan pemimpin yang matang dan berjiwa besar, bukan bertindak secara reaktif atau memperalatkan kuasa sebagai senjata politik.

“Penahanan MB Terengganu bukan isu teknikal semata-mata. Ia adalah gambaran jelas tentang cara kita melayan sesama sendiri dalam sebuah negara yang kononnya menjunjung prinsip demokrasi,” katanya.

Beliau turut menyentuh realiti bahawa Menteri Besar Terengganu dan Ketua Menteri Sabah dijangka duduk semeja bersama Perdana Menteri dalam mesyuarat khas membincangkan isu-isu nasional.

“Lebih ironik apabila mereka bakal duduk bersama, tetapi layanan terhadap sesama pemimpin pun sudah tidak beradab. Bagaimana mahu membina kepercayaan dan perpaduan?” soalnya lagi.

Pihaknya mengharapkan generasi muda menjadi lebih beradab, matang dan terbuka.

“Namun jika pemimpin dewasa yang menjadi cerminan masyarakat gagal menunjukkan nilai-nilai tersebut, maka apakah harapan untuk masa depan?

“Kuasa tanpa nilai akan melahirkan kekeliruan, bukan kepimpinan. Dan jika ini yang kita pertontonkan kepada generasi muda, maka jangan terkejut jika mereka membesar dengan rasa sangsi terhadap sistem dan institusi negara sendiri.

“Semoga Allah SWT memberi petunjuk dan melindungi negara ini daripada kepimpinan yang zalim, tidak berakhlak dan kehilangan jiwa,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!