Isu integriti dibangkitkan tanpa prejudis kepartian

- Advertisement -

AGAK lucu apabila yang menyatakan bahawa PAS khususnya saya sendiri di Dewan Rakyat membisu dalam isu-isu yang melibatkan pimpinan Pakatan Harapan dan hanya bising dalam isu-isu yang boleh melibatkan pemimpin Umno atau BN. 

Pertama sekali perlu diingatkan bahawa PAS tidak bekerja untuk sebarkan persepsi dan fakta yang tidak jelas, apa yang dituntut ialah membawa kes-kes berkenaan ke siasatan yang adil, telus dan mempunyai punca kuasa yang jelas.

Apabila ia didakwa di mahkamah, serahkan kepada mahkamah. Seseorang yang belum didapati bersalah tidak boleh dikatakan bersalah, itu prinsip. 

Untuk rekod, saya pernah bangkitkan di Dewan Rakyat berhubung isu pembelian banglo bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada Ogos 2020. Ia dilaporkan di pautan berikut: https://www.utusan.com.my/berita/2020/08/sprm-ada-hak-siasat-semula-kes-banglo-guan-eng/ dan https://www.malaysiakini.com/news/537369.

Bahkan saya pernah pertikaikan kenyataan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan berhubung faktanya mengenai Negeri Kelantan yang tidak mampu membayar gaji kakitangan. Perbahasan pada tahun 2018 ini boleh dirujuk di pautan: https://www.youtube.com/watch?v=SYf3d72WO7Q.

Dan terbaru apabila Lim Guan Eng bangkit di Dewan Rakyat dua minggu lepas mempertikaikan kenyataan Menteri Agama dalam isu Oktoberfest dan Bon Odori, saya juga bangkit mengajukan soalan tambahan dalam masa yang sama membantah fakta yang dibawa oleh Ahli Parlimen Bagan tersebut. Ia boleh dirujuk di: https://fb.watch/eVdURy0p89/.

Ini belum mengambil kira perbahasan yang menyentuh isu-isu lain melibatkan pimpinan Pakatan Harapan dan juga perbahasan Ahli-ahli Parlimen PAS yang lain di Dewan Rakyat yang sentiasa menyentuh isu-isu integriti. 

Hairan jugalah saya, kenapa pengikut-pengikut parti tertentu sangat ‘trigger’ dengan isu-isu yang melibatkan duit rakyat ini? Adakah apabila dibangkitkan isu-isu seperti ini, secara automatik pemimpin parti mereka akan dianggap terlibat? Kenapa begitu?

Dalam isu LCS, kita minta siasatan yang adil, bawa kepada mahkamah jika ada bukti penyelewengan. Tidak timbul lagi nama-nama tokoh tertentu yang didakwa bertanggungjawab. 

Jika ada pihak lain bangkitkan, jangan dikaitkan dengan PAS kononnya PAS turut sama memfitnah. Atau adakah kerana Pengerusi PAC ialah Ahli Parlimen daripada DAP, maka secara sendirinya ia dianggap fitnah? 

Sudah tentu ia satu kesimpulan yang sangat tidak adil. Siasatlah dulu. Secara logiknya, mana mungkin perjanjian berat sebelah mengakibatkan RM6 bilion duit rakyat ini dirangka dengan begitu sekali longgar jika tiada pihak membuat keuntungan?

Sebenarnya, dalam isu-isu integriti ini, kelihatan PAS perlu bercakap untuk semua isu. Barangkali anda tidak sempat mendesak pemimpin anda sendiri, atau mereka sedang sibuk ‘mengambil mana-mana yang sempat’ sehingga tidak sempat bercakap di Dewan Rakyat? Saya hanya sekadar bertanya.

YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI 
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 15/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -