MERKAVA 4: Kereta kebal yang bakal ‘tumbangkan’ Israel

- Advertisement -

ORGANISATION National Interest pada 4 Mei lalu menyenaraikan 10 kereta kebal terbaik dunia dengan Merkava 4 buatan Israel berada pada tangga ketiga.  

- Advertisement -

Senarai kereta kebal terbaik itu adalah seperti berikut:

1. T-72 (Russia)
2. M1 (Amerika Syarikat)
3. Merkava 4 (Israel)
4. Leclerc XL (Perancis)
5. K2 Black Panther (Korea Selatan)
6. T-99 (China)
7. T-14 (Russia)
8. Leopard II (Jerman)
9. Challenger 2 (British)
10. Challenger 3 (British)

Merkava adalah produk Israel yang dikeluarkan pada tahun 1979. Ia mula digunakan dalam Perang Lubnan pada tahun 1982. Model Merkava 1 ini dikeluarkan hingga tahun 2014.

Namun pada tahun 1983, Israel telah mengeluarkan model yang lebih canggih diberi nama Merkava 2. Ia digunakan hingga tahun 2020.

Pada 1990, mereka mencipta Merkava 3. Ia digunakan meluas dalam konflik selatan Lubnan, Intifadhah pertama, Intifadhah kedua, Perang Lubnan 2006, Perang Gaza 2014 dan sebarang konflik antara Israel dan Hamas. 

Pada 2004, Israel mengeluarkan kereta kebal tercanggih dan termahalnya iaitu Merkava 4. Ia diguna sejak Perang Lubnan 2006 hingga kini dalam perang di Gaza.

M4 ini adalah jentera yang dibina bersaiz 9.04 meter panjang X 3.72 meter lebar dan 2.66 meter tinggi. 

Ia mampu memecut di jalan raya dengan kelajuan 64 km sejam. Dibekalkan dengan 23 kuasa kuda pertan menjadikannya mempunyai 1,500 kuasa kuda untuk jentera seberat 65 tan itu. 

Sama seperti versi sebelumnya, M4 dikendalikan oleh 4 krew iaitu pemandu, komander, penembak dan pengisi peluru. 

Pada tahun 2012, Israel menawarkan M4 kepada Columbia dengan harga USD4.5 juta (RM 21.2 juta) seunit. Columbia sememangnya memerlukan kereta kebal berkenaan bagi menghadapi ancaman kereta kebal T-72 Venezuela. 

Pada 2014, Israel mengumumkan mengeksport M4 ke beberapa buah negara. Walaupun tidak diumumkan nama negara-negara berkenaan atas faktor keselamatan, namun ramai berpendapat ia dibeli oleh India, Filipina dan beberapa buah negara Arab. 

Tidak dapat dipastikan adakah UAE, Bahrain dan Maghribi termasuk dalam senarai pembeli M4 Israel. Namun daripada 13 bilion dolar nilai eksport senjata Israel, 24% adalah kepada ketiga-tiga buah negara Arab ini. 

UAE, Bahrain dan Maghribi adalah antara negara yang menandatangani Perjanjian Abraham 2020 yang menormalisasi hubungan dengan Israel. 

Sejak bermulanya Perang 7 Oktober lalu, Israel telah menurunkan ratusan buah M4 untuk melakukan kemusnahan di Gaza.

Biarpun serangan udara sudah banyak menyumbang kepada Israel untuk memusnahkan kediaman  dan membunuh warga Gaza, namun ketamakan mereka dalam melakukan kerosakan di muka bumi menyebabkan mereka turut mengirim pasukan darat yang menggunakan jentera pemusnah M4 ini.

Disebalik keghairahan mereka melakukan genoside, para pemerhati mempersoalkan, berbaloikah Israel menggunakan Merkava 4 di Gaza. Saban hari ada sahaja berita kemusnahan M4 dibedil oleh roket ringan pejuang yang dikenali sebagai Al-Yasin 105. 

Al Yasin 105 adalah senjata yang diubah suai dari RPG ciptaan Russia dan turut dikeluarkan oleh negara-negara blok komunis yang lain.

Senjata ini dianggap ‘purba’ kerana telah mula digunakan sejak tahun 1970-an. Perang Vietnam menyaksikan Amerika Syarikat sangat ‘tersiksa’  menghadapi serangan RPG.

Dengan pemilikan dan penggunaan Al Yasin 105 secara meluas oleh pejuang-pejuang Palestin, M4 sentiasa menjadi sasaran mereka. 

Bahkan rakaman siri serangan pejuang terhadap M4 turut memaparkan pejuang membawa bahan letupan dengan tangan untuk diledakkan pada badan kereta kebal berkenaan.  

Rupanya kereta kebal ketiga terbaik dunia itu tidaklah sekebal mana!

Februari lalu, Kataib Al Qassam mengumumkan berjaya memusnahkan 1108 jentera Israel. Angka itu termasuklah 55 buah trak askar, 3 buah jeep, 74 jentolak, 14 jengkaut dan 962 kereta kebal. 

Angka 962 buah itu adalah catatan bulan Februari, iaitu bulan keempat peperangan. Sekarang sudah masuk 7 bulan. Jika perkembangan itu berterusan, bererti tidak kurang dari 1600 buah kereta kebal Israel telah dimusnahkan.

Sekiranya 1000 dari kereta kebal yang dimusnahkan itu adalah dari jenis Merkava 4, bererti Israel telah mengalami kerugian yang sangat besar. Mencecah RM21.2 bilion. 

Itu baru kerugian M4.  Belum dikira kerugian kereta kebal jenis lain, trak askar, jentolak, jengkaut dan sebagainya. Sememangnya perang ini memberikan kesan ekonomi yang teruk kapada Israel.

Maka tidak mustahillah ramalan sesetengah pihak yang mengandaikan Israel sedang melalui hari-hari terakhirnya di bumi Palestin!

USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL
Maran, Pahang – HARAKAHDAILY 27/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!