TAPAH: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man secara sinis menyarankan penduduk Ayer Kuning agar meminta apa sahaja yang dikehendaki mereka kepada kerajaan.
Menurutnya, ia berkemungkinan akan dilaksanakan oleh kerajaan susulan Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang sedang berlangsung ketika ini.
“Di Malaysia, kita ada pilihan raya kecil. Semua apa yang pengundi nak, dapat. Kalau tuan-tuan minta sungai pun boleh dapat. Bukan jambatan, sungai pun lulus. Musim (pilihan raya) ini macam-macam (berlaku).
“Beras tempatan yang hilang bertahun-tahun, muncul pada musim pilihan raya kecil. Jualan Rahmah tiba-tiba muncul. Ikan dia jual murah, RM5 sekilo. Ayam, semua dia jual murah. Bila ada PRK, macam-macam kemudahan yang dapat,” sinisnya.
Amalan rasuah pilihan raya yang masih terang-terang terjadi di bawah pemerintahan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) kini, walaupun pernah melaungkan janji reformasi dan kononnya kini gigih memerangi para ‘penyakau’.
Sepertimana pada hampir semua PRK sebelum ini, PRK DUN Ayer Kuning juga menyaksikan Kerajaan Madani menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengumumkan ‘gula-gula’ 33 projek dengan peruntukan RM6.13 juta.
Tuan Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang Dewan Negeri (DUN) Pahang berucap demikian ketika memberikan ucapan di Ceramah Kelompok di Unit Daerah Mengundi (UDM) Tanjung Keramat, di sini, lewat malam tadi.
Turut hadir Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Rosli Abdul Jabar dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Andansura Rabu serta Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki.
Justeru, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menyeru agar penduduk di DUN Ayer Kuning memberi peluang kepada PERIKATAN NASIONAL untuk mewakili kawasan berkenaan.
“Setiap kali pilihan raya, Umnolah yang menjadi wakil rakyat. Tuan-tuan tak rasa nikmat parti lain sebagai wakil rakyat. Di peringkat parlimen, tuan-tuan dah ada Barisan Nasional. Di peringkat DUN, kita harapkan daripada PERIKATAN NASIONAL.
“Insya-Allah, mudah-mudahan Allah membantu kita dalam mencapai kemenangan pada kali ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!