
ALOR SETAR: Penyokong Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja gagal dalam tuduhan yang difitnah ke atas pimpinan Perikatan Nasional (PN), tetapi juga adu domba isu dan persepsi dicipta mereka.
Malah, rangkaian serangan peribadi mereka cuba hadapkan terhadap pimpinan PN juga sekadar ‘syok sendiri’, lalu setelah ketandusan modal dicetuskan pula isu yang tidak berasas.
Terkini mereka membuat dakwaan kononnya Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden tidak cakna kawasan diwakilinya hingga tidak mempunyai pejabat di dalam bandar itu.
Menurut Afnan, serangan isu tersebut dipercayai berbangkit ekoran beberapa video kritikannya terhadap Kerajaan MadaNon menjadi tular hingga menimbulkan rasa tidak puas hati mereka.
Terdahulu, video yang dimuatnaik melalui aplikasi TikTok dipercayai penyokong PH mendakwa tidak kenal serta tidak pernah bersua dan tidak tahu di mana Pejabat Ahli Parlimen Alor Setar.
Malah sebaliknya penyiar video itu juga menyebut kononnya masalah yang dihadapi oleh penduduk kawasan hanya dilawati oleh pemimpin Pakatan Harapan sahaja.
“Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Alor Setar ada dan berfungsi. Mai ke KM 12.5, Jalan Telok Kumbar, Alor Setar. Pejabat ada, pegawai pun ada,” kata Afnan.
Melalui hantarannya diaplikasi WhatsApp, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu turut berkongsi lokasi pejabatnya untuk memudahkan urusan kepada mana-mana pihak yang berhajat.- HARAKAHDAILY 10/6/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!