TCO Dr Samsuri: Tindakan canggah prinsip demokrasi

Dan juga kedaulatan undang-undang

- Advertisement -

LUJNAH Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) memandang serius tindakan kerajaan melalui agensi penguat kuasa yang telah meletakkan Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai subjek ‘Travel Control Order’ (TCO) dalam Sistem Kawalan Sempadan Negara sejak suku ketiga tahun 2024.

Penandaan sedemikian, yang membawa kesan kepada pemantauan pergerakan, komunikasi serta interaksi peribadi secara berterusan, adalah satu bentuk pencerobohan terhadap hak privasi, pencabulan terhadap prinsip keadilan semula jadi, dan pelanggaran terhadap Perkara 9(2) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak untuk bergerak bebas.

Lebih membimbangkan, sehingga kini tiada sebarang asas undang-undang atau bukti kukuh yang dikemukakan untuk mewajarkan tindakan ini. Reaksi sambalewa PMX dan Menteri Dalam Negeri yang kononnya semua VIP adalah merupakan subjek dan tertakluk kepada TCO, kelihatan berhelah politik dan gagal menjawab persoalan sebenar tentang kenapa Menteri Besar Terengganu perlu dihalang dan dipantau pergerakan walau pun sekadar untuk keluar masuk Sabah dan Sarawak.

Hal ini menggambarkan kecenderungan Kerajaan Madani untuk menyalahgunakan jentera kerajaan sebagai alat menekan musuh politik melalui mekanisme pemantauan negara yang tidak terkawal dan tanpa pengawasan kehakiman.

Malaysia sebagai sebuah negara demokratik perlu menolak amalan pemantauan arbitrari yang dilakukan secara rahsia, tanpa ketelusan, dan tanpa ruang untuk semakan atau pembelaan. Pemusatan kuasa intipan dalam tangan eksekutif semata-mata tanpa penglibatan badan pengadilan atau bebas adalah bertentangan dengan prinsip keadilan sejagat.

LUHAM juga berpandangan bahawa tindakan intipan perbualan peribadi YAB Dato’ Seri Ahmad Samsuri yang telah dipintas secara salah dan tidak sah oleh pihak berkuasa. Ini merupakan satu pencabulan hak peribadi yang serius dan melampaui batas serta mencabuli prinsip asas hak asasi manusia yang dijamin oleh norma antarabangsa seperti Perkara 12 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Sehubungan itu, LUHAM menggesa Kerajaan Madani menghentikan serta-merta sebarang bentuk pemantauan dan intipan secara salah terhadap Menteri Besar Terengganu dan mana-mana individu lain yang ditandai di bawah TCO atas alasan politik.

Malaysia tidak akan dapat bergerak ke hadapan sebagai negara yang adil dan inklusif sekiranya perbezaan pandangan politik terus dianggap ancaman negara, apatah lagi dilayani seolah-olah sebagai penjenayah di bumi sendiri.

Justeru LUHAM menggesa Kerajaan Madani  bertindak dengan lebih matang dengan mengamalkan politik yang meraikan perbezaan, mengangkat prinsip kedaulatan undang-undang dan menghormati maruah individu tanpa mengira latar belakang politik.

“Malaysia Sejahtera”

WAN ROHIMI WAN DAUD
Pengerusi
Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat.
15 April 2025 | 16 Syawal 1446 H – HARAKAHDAILY 15/4/2025

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!