PRN16: Palu gendang perang, sedia tawan lima DUN

PAS Kawasan Masjid Tanah zahir tekad

- Advertisement -

MASJID TANAH: Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman memalu gendang ‘perang’ sebagai tanda bermula gerak kerja menawan kelima-lima kerusi DUN dalam Parlimen itu.

- Advertisement -

Menurut beliau, semua jentera harus bersedia untuk berhadapan kemungkinan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 16 mungkin akan berlangsung pada tahun hadapan.

“Saya mengharapkan kita semua sedar bahawa PRU16 dan PRN16 akan datang ini lebih mencabar. Jadi kita perlukan persediaan rapi dan jangan lupa rakan kita dalam keluarga Perikatan Nasional.

“Kita perlu menyusun langkah bersama, menggerak jentera Perikatan Nasional di Masjid Tanah khususnya di semua peringkat bermula daripada sekarang,” katanya.

Beliau berucapan demikian dalam majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Masjid Tanah yang berlangsung di markaz kawasan Jalan Hujan Panas, di sini semalam.

Ustaz Imran yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka turut menitipkan beberapa persoalan mengenai persediaan menghadapi PRN dan PRU16 kepada ahli-ahli PAS kawasan itu.

“Sudahkah kita bersedia untuk berjuang? Adakah kita sudah bersedia untuk ‘berperang’ bila-bila masa daripada sekarang? Adakah jentera sudah siap diatur?

“Adakah kita sudah bersedia dari segi wang, tenaga dan masa? Apakah strategi yang mampu membawa masyarakat memilih kita? Saya titipkan persoalan ini untuk kita semua untuk dijawab,” ujarnya.

Beliau turut berharap semoga Allah melindungi semua ahli yang menyokong perjuangan PAS dari sikap culas dan malas.

“Selalu kita diingatkan bahawa jika kita orang yang banyak berehat di dunia maka kita akan banyak bekerja di akhirat. Semoga kita terus beristiqamah dalam perjuangan ini.

“Mereka yang terdahulu berada dalam gerakan Islam ini telah melalui berbagai-bagai liku-liku ujian dan cabaran yang lebih hebat berbanding kita hari ini.

“Ada yang ikat perut, ditindas, dipulau, namun sedikit pun tidak mematahkan semangat juang mereka demi kepentingan Islam,” ujarnya.

Tambahnya, sejarah turun naik PAS dalam arena politik Malaysia, susah senang mereka dilalui dengan penuh kesabaran dan kemanisan.

“Sebab itu malanglah bagi kita yang terlalu banyak kemudahan dan kesenangan tetapi masih culas.

“Pejuang Islam perlu sentiasa optimis dan positif meyakini bahawa masa depan Islam adalah masa depan yang cerah dan gemilang. Bahkan kemenangan Islam adalah suatu jaminan daripada Allah SWT,” ujarnya.

Perasmian MAT PAS Kawasan Masjid Tanah telah disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail turut menyampaikan taujihat dalam majlis tersebut sementara Timbalan Pesuruhjaya, Muhamat Puhat Bedol hadir sebagai pemantau.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Bahagian BERSATU Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dan Setiausaha PAS Negeri Melaka, Asri Shaik Abdul Aziz serta Pengerusi GERAKAN Masjid Tanah, Tee Teck Min dan pimpinan Muafakat Nasional. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -