TAPAH: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Ustaz Abdul Muhaimin Malek meneruskan sesi ziarah mesra rumah ke rumah sekitar Kampung Baru dan Kampung Jawa, di sini dalam usaha mendekati rakyat setempat.
Ziarah bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning itu juga bertujuan mendengar sendiri suara penduduk di samping memperkenalkan pelan tindakan PN jika diberi mandat oleh rakyat.
Seorang penduduk, Ahmad Radzi, 70, menyambut baik kehadiran Ustaz Muhaimin dan jentera kempen daripada PN dan menyifatkan pemimpin muda itu sebagai individu terbaik bagi mewakili kawasan berkenaan.
“Walaupun kawasan ini mengikut sejarahnya merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN), tapi saya percaya PRK pada kali ini keadaan boleh berubah. Ramai anak muda di sini bila saya tanya siapa yang akan menang, mereka kata 50-50.
“Jadi saya fikir PN mempunyai peluang yang baik untuk menang pada kali ini. Ustaz Muhaimin juga sangat baik, beliau sangat dikenali dalam kalangan penduduk khususnya yang sering hadir ke masjid dan surau sekitar sini,” katanya di Kampung Baru, di sini hari ini.
Turut hadir dalam sesi ziarah itu ialah Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib; Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki; Ahli Parlimen Pasir Salak, Jamaludin Yahya dan ADUN Beserah, Dato’ Andansura Rabu.
Kempen PRK DUN Ayer Kuning yang memasuki hari keempat semakin rancak dengan pelbagai aktiviti turun padang oleh calon-calon yang bertanding.
PRK pada kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Ustaz Muhaimin dan calon BN, Dr Yusri Bakir dan calon PSM, Bawani KS. – HARAKAHDAILY 15/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!