KUALA TERENGGANU: “Kerajaan yang dahulu melaung ‘Reformasi’, hari ini menjadi raksasa memangsakan rakyat,” kata Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Md Fauzi (PAS–Sura), menyelar tekanan politik terhadap Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau menyifatkan tindakan memantau dan menyekat pergerakan Ahmad Samsuri sejak tahun lalu sebagai satu bentuk penindasan terhadap pemimpin yang dipilih rakyat, hanya kerana perbezaan warna politik.
“Saya tidak mampu sembunyikan rasa pilu, marah apabila Menteri Besar kita, pemimpin pilihan rakyat, dikenakan tekanan politik seolah-olah beliau penjenayah, pengganas. Dosa beliau cuma satu, beliau berbeza warna politik dengan kepimpinan di Putrajaya.
“Beliau dilihat sebagai pemimpin yang ada idea dan melaksanakan idea. Itu sahaja. Dan kerana itu, beliau dilayan seperti ancaman kepada negara. Wahai Kerajaan Pusat bukankah kamu pernah melaung ‘Reformasi’?
“Bukankah kamu pernah jerit ‘lawan tetap lawan’? Tetapi hari ini, kamu hukum lawan kamu bukan dengan hujah, tetapi dengan gari, sekatan dan kekangan! Di manakah maruah kamu? Di manakah prinsip kamu?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perbahasan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Fakhruddin yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Terengganu turut menempelak tindakan menyekat media, ulama dan cendekiawan yang mengkritik kerajaan.
“Media dibungkam. Suara ulama dan cendekia dituduh menghasut. Kritikan dibalas dengan tangkapan. 3R agama, kaum, raja bukan lagi garis panduan, tapi dijadikan senjata untuk menyekat suara yang jujur.
“Apa sudah jadi dengan roh Keadilan? Apa sudah jadi dengan jiwa Reformasi? Lalu saya katakan yang dulunya ‘Reformasi’, kini sudah menjadi ‘reformati’. Yang dulunya melaung kebebasan, kini menjulang kekuasaan,” ujarnya.
Tambahnya, rakyat semakin sedar bahawa suara yang menuntut keadilan kini ditekan, manakala penentang kezaliman disekat.
“Siapa yang lawan kezaliman, akan disekat. Inilah wajah sebenar kerajaan yang takut pada suara rakyat, dan inilah saatnya kita menyebut seperti mana Rubai bin Amir menyatakan: “Kami datang untuk mengangkat keadilan Islam dan meruntuhkan kezaliman sistem manusia.”
“Sura berdiri teguh hari ini bukan hanya untuk menyokong titah Tuanku, tetapi untuk menyanggah kezaliman. Saya bersolidariti bersama Menteri Besar. Saya menolak tekanan politik.
“Saya membantah penyalahgunaan kuasa. Bagaikan menyekat air dari mengalir ke laut, suara rakyat takkan dapat dibendung dengan ugutan dan tekanan,” katanya.
Beliau memberi amaran tegas bahawa sejarah membuktikan, setiap bentuk penindasan pasti akan disusuli dengan kebangkitan rakyat.
“Sejarah membuktikan, setiap penindasan akan dibalas dengan kebangkitan,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!