AYER KEROH: Kerajaan Negeri Melaka digesa untuk membuktikan bahawa timbul keresahan dan keharmonian masyarakat terjejas akibat gambar Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang diselitkan pada slide khutbah Jumaat baru-baru ini.
Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Zulhilmi Suboh berkata, Kerajaan Negeri Melaka harus membuktikan sememangnya kejadian itu membawa keresahan dalam masyarakat atau sebenarnya itu hanyalah permainan politik sahaja.
“Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka bersolidariti dan bersimpati akan tindakan keterlaluan yang dikenakan ke atas empat pegawai JAIM yang telah dipecat.
“Pemecatan itu adalah kerana kejadian gambar Presiden PAS, YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang diselitkan dalam slide khutbah Jumaat baru-baru ini,” katanya.
Katanya, tindakan oleh Kerajaan Negeri itu jelas bertentangan dengan hasrat Perdana Menteri yang mahu membawa reformasi dalam memacu masa depan Malaysia ketika perhimpunan tempoh hari.
“Justeru itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka mendesak Kerajaan Negeri untuk mengemukakan bukti keresahan dan keharmonian masyarakat berdasarkan rungutan orang awam.
“Serta menjalankan tanggungjawab sebenar kerajaan, iaitu membela nasib rakyat bukannya bermain isu politik dalam jentera kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook Dewan Pemuda PAS Melaka hari ini.
Media sebelum itu melaporkan bahawa Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, empat orang pegawai yang terlibat dalam kejadian itu menghadapi tindakan sama ada melibatkan pemecatan atau penukaran jawatan.
Menurut laporan itu, Rahmad dalam alasannya berkata kejadian berkenaan menimbulkan keresahan serta rungutan awam sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Islam di negeri Melaka. – HARAKAHDAILY 24/9/2024