PAS rai masyarakat bukan-Islam di Parit Besar

- Advertisement -

SRI GADING: Ketua Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Dato’ Mahfodz telah meraikan masyarakat bukan-Islam termasuk kalangan anggota Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) di Parit Besar, di sini semalam.

Majlis anjuran Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda PAS Kawasan Sri Gading ini diadakan dengan kerjasama PAS Cawangan Parit Besar dan DHPP Negeri Johor yang dihadiri sekitar 120 penduduk berketurunan Cina dan India.

- Advertisement -

Program ini bertujuan mewujudkan ikatan perpaduan dan mengeratkan hubungan antara kaum yang telah sedia terjalin secara harmoni antara penduduk setempat bersama para pimpinan daripada PAS.

Nawfal dalam ucapannya mengupas seruan lita’arafu di dalam al-Quran yang menegaskan betapa penciptaan Allah S.W.T terhadap kepelbagaian bangsa adalah untuk hidup saling mengenali dan memerlukan di atas muka bumi.

“Allah ciptakan manusia pelbagai bangsa untuk berkenal-kenalan, itulah konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob,” ujar beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional Johor.

Ketua DHPP Johor, Selvandran Vellu yang juga Setiausaha DHPP Pusat menyifatkan majlis ini sebagai keprihatinan PAS dan merupakan antara usaha meramaikan penyokong dan menambah keahlian DHPP.

Ketua PAS Parit Besar, Suhaimi Misman pula menegaskan bahawa Islam yang menjadi dasar PAS mengajar tiadanya pemisahan atau peminggiran kaum atau terhadap masyarakat bukan-Islam di mana menjadi sebahagian warganegara ini.

“Malahan, masyarakat bukan-Islam di negara ini dikategorikan sebagai ummatul dakwah yang mesti disantuni dan diraikan sewajarnya,” jelas beliau.

Pimpinan PAS Sri Gading yang turut bersama adalah Yang Dipertua, Ustaz Hashim Jusoh dan Ketua Pemuda, Firdaus Mahdi serta Ketua Muslimat, Baesah Gasar dan Ketua DHPP Kawasan Bakri, Subramaniam Kupusamy.

Juga Setiausaha DHPP Johor, Prem Bahadur Shir Singh dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda PAS Sri Gading, Aswad Mahmood. – HARAKAHDAILY 5/11/2021

- Advertisement -