RAUB: Jawatankuasa Koordinasi PAS Kawasan Zon Barat atau dikenali sebagai ‘Parliamentary Committee 4’ (PC4) telah membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, petang tadi.
Laporan polis itu dibuat ekoran satu video tular di laman Facebook menunjukkan provokasi Chow bersama-sama pekebun musang king menghalang pihak berkuasa melaksanakan tugas mereka di Sungai Klau, di sini Selasa lalu.
Di dalam video tersebut terpapar seorang lelaki bertindak agresif terhadap beberapa anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas dalam operasi menebang pokok durian di tanah diceroboh dan teroka secara haram.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Roslan Zainal al-Ahmadi merangkap Pengarah PC4 tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub itu bersama Naib Yang Dipertua PAS Cameron Highlands, Wan Mahasan Wan Mahmood.
PC4 dianggotai PAS Kawasan Lipis bersama Cameron Highlands, Raub dan Bentong di mana PAS Kawasan Bentong turut membuat laporan polis diketuai Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah di IPD Bentong, petang tadi.
Di dalam laporan berkenaan beliau memetik nama Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui bersama beberapa orang secara jelas melakukan provokasi menghalang tugas pihak berkuasa.
Mereka menurut Khairuddin telah menengking, mengeluarkan kata-kata kesat seperti “Kau siapa nak tahan aku?”, “Bodoh la kau ni,” serta kata-kata lain yang menghina penjawat awam tersebut.
Chow ujar Khairuddin, dengan begitu agresif telah menunjukkan kepada anggota penguatkuasa salinan keputusan mahkamah seolah-olah tindakan penebangan pokok durian tersebut berada dalam kawasan yang terlibat di dalam perintah mahkamah.
Khairuddin hadir diiringi Ketua Dewan Ulamak PAS Bentong, Ustaz Roslan Mad Esa bersama Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan, Yusma Yusof. – HARAKAHDAILY 14/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!