KOTA BHARU: Sebanyak 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini sudahpun melantik seorang Pegawai Integriti sebagai Urus Setia Jawatankuasa Anti Rasuah (JAR) masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah memberitahu, Unit Integriti bagaimanapun belum ditubuhkan secara khusus di semua PBT.
Namun katanya, Pegawai Integriti yang sudah dilantik itu berperanan sebagai orang tengah antara Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU) dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.
Menurutnya, sebelum ini beliau telah mengulas berhubung perkara yang dibangkitkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Malah dia turut berpendapat, Kor Ming sepatutnya lebih telus
dan adil dalam membuat kenyataan dan tidak hanya membabitkan tiga negeri sahaja.
“Beliau sepatutnya menyenaraikan status terkini penubuhan Unit Integriti yang dimaksudkan dalam Pekeliling JPA di kesemua 156 PBT di Malaysia.
“Kenyataan berkenaan tidak sepatutnya tertumpu di tiga negeri saja kerana penubuhan Unit Integriti perlu melalui proses serta tatacara yang teratur selain membabitkan implikasi kewangan kepada PBT,” katanya lagi.
Beliau memberitahu, di Kelantan sudahpun melantik pegawai untuk memangku tugas Pegawai Integriti sementara dalam proses penubuhan rasmi Unit Integriti di peringkat PBT.
“Penubuhan Unit Integriti memerlukan tindakan dan pemantauan serta pengisian program integriti selain kerohanian yang perlu dibuat secara berterusan untuk semua kakitangan dan pegawai kerajaan negeri termasuk PBT,” katanya ketika mengulas perkara itu.
Semalam dilaporkan, kekurangan tenaga kerja tidak sepatutnya menjadi halangan bagi mana-mana PBT menubuhkan unit integriti di mana Kor Ming berkata, kesemua 156 PBT di negeri ini diwajibkan untuk menubuhkan Unit Integriti.
Hilmi menjelaskan, sebagai sebuah kerajaan yang mengamalkan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) sejak tahun 1990, integriti dalam pentadbiran sememangnya sudah lama menjadi prinsip asas.
Jelasnya, prinsip tersebut terlaksana dalam pemerintahan Kerajaan Negeri Kelantan, selain tiada pegawai dan pimpinan kerajaan negeri yang disabitkan dengan kes rasuah.
“Bacaan ikrar dan program tahunan antara semua kakitangan dan pegawai kerajaan negeri dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga diadakan setiap tahun,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/10/2024