TUMPAT: Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pusat Khidmat DUN Pengkalan Kubor mencerminkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Kelantan yang diraikan dengan penuh harmoni dan kesyukuran.
Kelantan terus menjadi lambang perpaduan unik apabila kerajaan negeri dan wakil rakyat tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum untuk hadir ke majlis rasmi, sama ada di peringkat negeri mahupun DUN.
ADUN Pengkalan Kubor, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat sentiasa menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat pelbagai kaum yang mendiami kawasan itu termasuk Siam, Cina, India dan lain-lain.
Penasihat Persatuan Siam Kelantan, Pin Chau berkata, jemputan ke majlis rumah terbuka tersebut amat dihargai kerana masyarakat Siam turut diraikan sempena sambutan Aidilfitri.
“YB Dato’ Wan Roslan sentiasa meraikan kami dan sering menjemput untuk hadir ke pelbagai program anjuran beliau, bukan hanya pada majlis Aidilfitri semata-mata,” katanya kepada Harakahdaily ketika ditemui pada majlis Aidilfitri DUN Pengkalan Kubor, kelmarin.
Bekas Pengerusi Persatuan Siam Kelantan itu turut menyatakan penghargaan kerana masyarakat Siam sentiasa dilibatkan dengan peruntukan yang adil serta diberi ruang meraikan belia kaum mereka.
“Setiap kali kaum kami mengadakan perayaan, kami juga dijemput untuk meraikan bersama, malah tempat khas turut disediakan kepada kami,” ujarnya lagi.
Pada majlis itu, Pusat Khidmat DUN turut mengundang delegasi dari Takbai yang diketuai oleh Polis Leftenan Rusli Pracha.

Menurut Rusli, pihaknya amat berbangga dan berterima kasih atas kesudian jemputan yang diberikan, bukan hanya pada tahun ini, bahkan sejak sekian lama.
“Pelbagai kaum turut diundang ke majlis Aidilfitri ini oleh pihak DUN Pengkalan Kubor dan saya lihat ia satu perkembangan yang amat baik,” katanya.
Beliau menyifatkan layanan kepada masyarakat minoriti sebagai sesuatu yang sangat mengagumkan kerana mereka diraikan dan dilayan dengan penuh rasa hormat dan setara.
Wan Roslan pula melahirkan rasa teruja atas sambutan luar biasa oleh penduduk setempat termasuk masyarakat pelbagai kaum.
Wan Roslan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pengunjung yang menghadiri majlis terbukanya.
Katanya, kehadiran orang ramai pada tahun ini begitu ramai berbanding sebelumnya termasuk kaum-kaum Siam, Cina dan India yang hadir begitu ramai berbanding sebelumnya. – HARAKAHDAILY 14/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!