Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat di Port Dickson

Dato' Seri Takiyuddin Hassan di Majlis Mesra Aidilfitri Pemimpin Kerajaan Negeri Bersama Anak-Anak Kelantan di Perantauan.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Buat julung kali dalam sejarah, PAS Pusat memutuskan untuk menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 di Lukut dalam Parlimen Port Dickson pada 27 April depan.

Setiausaha Agung PAS Pusat, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 menyaksikan PAS berjaya mempunyai tiga wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan..

- Advertisement -

“Jadi PAS Pusat pada tahun ini, memilih negeri yang kita julung-julung kali ada wakil rakyat DUN di negeri yang Umno antara terkuat di dunia, iaitu Negeri Sembilan, kita ada tiga.

“Tahun ini, PAS Pusat memilik Port Dickson sebagai tempat majlis hari terbuka PAS Pusat pada 27 April, iaitu sehari selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning, Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Mesra Aidilfitri Pemimpin Kerajaan Negeri Bersama Anak-Anak Kelantan di Perantauan di Dewan Yayasan Islam Kelantan (YIK) di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar, Dato Panglima Perang Mohd Nasuruddin Daud; Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu merangkap Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Kota Bharu memaklumkan pihaknya akan mengadakan Hari Terbuka PAS Kawasan Kota Bharu pada 14 April depan.

Beliau berkata, Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) Kota Bharu di sini menjadi lokasi tetap bagi penganjuran acara tahunan yang sangat meriah itu. – HARAKAHDAILY 2/4/2025

- Advertisement -