Gaza kembali dalam kubangan berdarah!

- Advertisement -

HARI INI hari kedua Gaza kembali berdarah di mana lima orang pimpinan HAMAS turut syahid dengan ratusan (404 orang) syuhada berangkat ke negeri abadi yang indah. 

Sebelum ini perang tanah suci Palestin yang dijenamakan oleh al Qassam sebagai Taufan al Aqsa telah berlangsung selama 15 bulan. Serangan nekad pejuang Islam untuk mengembalikan semula kemuliaan tanah kiblat pertama umat Islam setelah pencerobohan biadab Zionist ke atas Masjidil Aqsa dengan usaha gencar mereka untuk membangunkan kuil Sulaiman. Tidak lelah, tanpa ketakutan, dengan operasi kumpulan elit al Qassam seperti memberi isyarat kepada dunia, Israel bukanlah terlalu kuat untuk dikalahkan dan 2027 sebagai unjuran untuk pembebasan total bumi barokah ini. 

Kontradik dengan sejarah Perang Arab Israel Jun 1967, hanya dengan enam hari sahaja tiga buah negara Arab telah tertampar malu oleh Israel. Mesir, Jordan dan Syria hilang 25,000 orang tentera dengan puluhan ribu yang lain cedera. Hilang pula kedaulatan Wilayah Sinai, Tebing Barat dan Bukit Golan yang strategik. Memalukan!

15 bulan yang getir turut mengheret kesan hiliran yang lain, bukan sekadar mengheret kesakitan di Gaza juga Israel namun turut melibatkan perang Israel dengan Iran, Selatan Lubnan, Yaman serta serangan Israel ke atas Kedutaan Iran di Damsyik. 

- Advertisement -

Sembilan buah negara Eropah bergabung dan berdepan dengan Yaman yang melancarkan serangan solidariti terhadap Gaza. Buana ini tiba-tiba geger dengan suara kesakitan Yahudi, ketidaktentuan keadaan politik Israel, bantahan awam di seluruh pelusuk dunia termasuk kebangkitan rakyat Amerika. 

Perang sengit 15 bulan ini menyaksikan carpet bombing ke atas Gaza meluluh lantak sebahagian besar bangunan-bangunan di Gaza City, Deir Balah, Rafah, Khan Younis, Jabelieh dan Zaitun. 

Paling dahsyat ialah di Jabalieh di utara Gaza yang dicadangkan untuk peluasan wilayah Israel dan kelmarin puluhan ribu warga asal Jabalieh yang mengungsi ke Rafah mula kembali ke daerah leluhur mereka. 

Perang 15 bulan sebelum ini telah mensyahidkan 45,250 orang warga Gaza, 107,627 orang yang cedera (data pada 22 Disember 2024). Lebih sejuta orang telah hilang rumah kediaman namun kota ini berselimut angin semilir yang mewangi darah syuhada. 

Perang ini telah mensyahidkan Sheikh Ismail Haniyeh, Yahya Sinwar, Hasan Nasrallah dan pejuang-pejuang yang lain. Tiada istilah untuk berpaling tumit, tiada rasa kesal kerana kehilangan anggota keluarga kerana warga tanah berkah ini memahami seni kematian dan apa tujuan dan citra kehidupan. 

Menurut Komander Briged al Qassam, perang ini tiada noktah sehinggalah dibebaskan setiap inci tanah Palestin sebagaimana matlamat Kataib Al Qassam ditubuhkan pada tahun 1987.

Israel mendapat tentangan terhebat semenjak entiti haram ini ditubuhkan pada 1948 di atas tanah Palestin. Ribuan soldadu mereka dihumban ke neraka, menggeletak sebelum nyawa terpisah tatkala belum sempat kaki mereka memijak tanah Gaza. Merkava mereka dihentam hancur dengan senjata ‘cap ayam’ pejuang al Qassam. Segala-galanya di luar upaya fikir gembong-gembong tentera Zionis sehingga  mereka mengatakan adakah Tuhan Nabi Harum dan Tuhan Nabi Musa telah tidak bersama mereka! 

Sejumlah 1,300 kenderaan besi kereta kebal canggih Merkava dihancurkan oleh pejuang Palestin di mana secara purata lapan orang anggota IDF menempati sebuah kenderaan Merkava. 

Dalam tempoh 15 bulan taufan Al Aqsa, darah penzalim serta dayus terus berkubang dan pelbagai cuplikan video menunjukkan guratan wajah ketakutan tentera Zionis. Israel digempur peluru sehingga ke Tel Aviv, Ashdod, Lapangan Terbang Ben Gurion dan juga lokasi-lokasi yang lain. 

Siren kecemasan terus berbunyi dan tempat-tempat perlindungan terus dipadati manusia sombong yang disokongi oleh rangkaian kuasa besar itu. Roket-roket al Qassam mengena tepat pada loji senjata nuklear di Tel Aviv. Sedikit sahaja terkalih daripada sasaran; jika sasaran itu tepat, Tel Aviv akan mempunyai kawah besar paling ngeri dalam sejarahnya. 

Sementara itu, ratusan ribu warga negara haram itu telah berpindah keluar kerana tidak tahan tekanan, ketakutan serta depresi termasuk anggota-anggota IDF yang mengalami gangguan mental. 

15 bulan yang berdarah juga mengejutkan nurani, bantahan awam di pelbagai belahan dunia tanpa mengira agama, ideologi dan etnik. Serangan rambang Israel di atas nama  colateral damage bungkam rasa manusiawi, kerosakan pada bangunan kerajaan serta rumah kediaman termasuk gereja ketiga tertua di dunia turut menjadi puin-puin berserakan. Binatang Israel melanggar konvensyen Geneva, juga melanggar protokol keselamatan PBB, tiada yang mampu menghalang mereka melainkan penjajahan ke atas tanah berkah ini wajib ditamatkan. Amerika menjadi adijagat yang melindungi negara haram Yahudi, dengan dibantui oleh sebilangan besar negara-negara munafik Arab!

Serangan regim berterusan dan kematian terus meningkat tanpa menghiraukan bantahan dunia. Jumlah tan metrik bom yang digugurkan ke atas bumi Gaza adalah berlipat kali ganda daripada bom atom yang digugurkan di Nagasaki dan Hiroshima pada tahun 1945. Tidak pelik jika seluruh dunia bangkit menentang pembantaian Gaza termasuk oleh kelompok Yahudi Ortodok. 

Kejengkelan awam terhadap kuasa adijagat Amerika terserlah dengan berlakunya kebakaran besar di Los Angeles, California dalam bulan Januari 2025 apabila komentar awam mengaitkannya dengan bantuan Amerika kepada Zionis. Karma yang melanda sang angkuh itu masih lagi berusaha memadamkan api yang membaham lahan mereka dengan kerugian bertrillion dollar malah lima kali ganda kos membangunkan kembali keseluruhan Gaza.

Kesombongan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump diejek oleh masyarakat dunia, bahkan pasti polisi Amerika selama ini menyokong Israel akan memicu kemarahan dunia. 

Naratif kezaliman Israel cuba dilunakkan bahasa oleh agensi-agensi berita antarabangsa yang dikawal oleh Zionis. Mereka mengekang media sosial agar kezaliman tidak terungkap, bahkan pelbagai tindakan dibuat untuk mengekang kesedaran Muslim seperti halangan bertakbir dan membaca Qunut Nazilah. Segala simbol kebangkitan Palestin tak dibenarkan untuk dipaparkan seperti yang berlaku di Saudi, Mesir dan lain-lain negara Arab yang pro-Israel . Kezaliman cuba dirabunkan, walhal di kalangan yang syahid pula, terdapat ramai kanak-kanak, orang tua, wanita. Pelbagai bangunan perlindungan awam di Gaza juga tidak terlepas daripada dimusnahkan. 

Al Qassam, sayap tentera HAMAS dan Jihad Islam minggu ini memicu perhatian antarabangsa apabila mempamerkan kekuatan mereka setelah 15 bulan yang panjang. Ribuan anggota elit mereka muncul dengan perang saraf yang terbaik, visual lima orang anggota wanita IDF yang gelak dengan guratan wajah ceria di atas pentas sangat kontradik dengan kondisi tawanan-tawanan Palestin oleh tentera penzalim. Ianya gambaran kemuliaan Islam yang mengajar kita etika peperangan di mana Nabi SAW telah mengajar bagaimana tawanan perang wajib dilayani dengan baik. 

Mesej yang ingin disampaikan kepada dunia adalah bahawa pejuang-pejuang Palestin tidak kalah, bahkan mereka muncul dengan kader-kader baru berani mati yang dilatih secara agresif oleh Muhammad Sinwar (adik beradik as Syahid Yahya Sinwar). Kontradiknya, tentera Israel sedang mengalami tahap titik moral paling rendah apabila ramai petinggi tentera mula meletakkan jawatan. 

Kesimpulannya untuk perang yang baru dimulai di bulan Ramadan ini pastinya sangat seru dengan lipatan sejarah Ramadan bulan jihad yang menyaksikan kemenangan di medan Badar, fathul Makkah, Ops Perang Tabuk, Perang Hitting, Perang Ain Jalut dan puluhan perang yang lain.

 Maka, janganlah lalai wahai ummat, pakatan Ahzab sedang membantai saudara akidah kita di Gaza! Umat Islam sewajibnya dikerah untuk menggalang dana, melantunkan munajat serta doa, menggerakkan kempen kesedaran peduli Gaza serta membantu umat Islam Palestin yang sedang berkubang darah mempertahankan kiblat pertama ummat Islam.

Penduduk Gaza membayar harga  yang  mahal, kerana merekalah benteng kepada keselamatan Masjid Aqsa, seperti kata Abu Ubaidah,  “Simpan wuddukmu teman-teman, untuk kita sama-sama solat berjemaah di Masjidil Aqsa”. 

Insya-Allah, tanah israk ini akan dimerdekakan!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan anggota misi bantuan tanpa sempadan – HARAKAHDAILY 19/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!