KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution telah memberikan jawapan sangat angkuh terhadap kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan jawapan Saifuddin itu mencerminkan bahawa kerajaan hari ini berkuasa menentukan siapa yang layak disiasat serta dihukum dan siapa yang tidak.
Kata beliau, Saifuddin seharusnya menyambut baik saranan Takiyuddin yang mendesak kerajaan bertindak segera terhadap mana-mana kenyataan yang bersifat provokatif terhadap keharmonian hidup berbilang kaum di Malaysia ini.
“PAS sebagai parti gerakan Islam sentiasa menjunjung tinggi keadilan sebagai asas kepada tindakan. Kita mahu semua pihak tanpa mengira latar belakang agama, kaum atau pegangan politik menghormati kebebasan beragama berlandaskan perlembagaan negara Malaysia.
“PAS membuktikan apabila negeri yang diperintah oleh PAS tidak mempunyai kejadian pergaduhan antara kaum pada 1969 walaupun terdapat insiden pergaduhan kaum di negeri-negeri lain ketika peristiwa rusuhan antara kaum pada 1969,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, banyak kenyataan dan tindakan bersifat provokatif dilakukan bukan hanya dari rakyat bawahan, tetapi juga datang daripada anggota parti kerajaan yang berjawatan.
“Mereka sendiri dilihat mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bidang kuasa dan tugas pihak-pihak berkuasa Islam mahupun kepentingan sah umat Islam. Tak perlu untuk saya nyatakan di sini kerana terlalu banyak tindakan-tindakan yang mengguris perasaan rakyat dibuat.
“Kenyataan menteri memberi persepsi bahawa mereka bebas membuat apa saja tanpa perlu mengikut neraca keadilan yang diperjuangkan mereka dahulu,” ujarnya.
Jelas beliau, tindakan mengugut dengan berkata ramai pemimpin pembangkang yang akan dikenakan tindakan jika undang-undang 3R dikuatkuasakan menampakkan bahawa undang-undang ini hanya terpakai kepada mereka selain anggota parti kerajaan.
“Saya menyeru kepada semua pihak agar bertenang dan sentiasa menjaga keharmonian hidup bermasyarakat.
“Bersempena dengan bulan Ramadan, bulan di mana Al-Quran diturunkan, mari kita semua jadikan Al-Quran sebagai panduan dalam melaksanakan urusan bernegara serta bermasyarakat,” katanya.
Saifuddin baru-baru ini mendakwa sekiranya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang mencetuskan ketegangan dalam masyarakat, pemimpin pembangkang akan menjadi kumpulan yang paling ramai terlibat.
“Jika saya atau pihak polis ingin menguatkuasakan peruntukan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi, atau undang-undang lain, mereka akan menjadi antara yang paling ramai dikenakan tindakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!