MANILA: Tawaran satu peso atau RM0.08 bagi setiap lima ekor nyamuk yang berjaya dikutip sama ada hidup atau mati, mendapat sambutan penduduk Addition Hills, di sini.
Mereka sanggup beratur panjang membawa hasil ‘tangkapan’ masing-masing untuk menuntut ganjaran yang ditawarkan.
Menurut Ketua kampung di Addition Hills, Carlito Cernal, tawaran itu diadakan bagi meningkatkan kesedaran kepada penduduk berikutan wabak demam denggi semakin menular di negara itu.
“Inisiatif ini memberi ‘impak besar’ dalam mengekang penularan penyakit tropika ini apabila digabungkan dengan usaha pembersihan kawasan tempatan,” kata beliau.
Cadangan itu mendapat sokongan penduduk kerana secara tidak langsung memberi pulangan berupa wang tunai yang boleh digunakan untuk membeli apa-apa keperluan dihajati.
Salah seorang pengumpul nyamuk Iluminado Candasua berkata, beliau memilih kawasan yang strategik untuk menangkap serangga itu.
“Bukan mudah untuk tangkap nyamuk ini. Saya akan pergi ke kawasan bercahaya suram dan menekup nyamuk yang berada di dinding dengan cawan.
“Duit tawaran itu, saya akan kumpul untuk membeli telefon bimbit untuk anak saya,” katanya.
Sungguhpun demikian, usaha tersebut kurang dipersetujui oleh pegawai dan pakar perubatan Filipina kerana kemungkinan dari kalangan penduduk yang membawa ‘hasil tangkapan’ itu bergejala dan boleh berjangkit kepada orang lain.
Kemungkinan juga memberi sedikit kesan secara tidak langsung, di mana penduduk akan membiarkan serangga itu membiak demi wang.
Terdahulu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia meletakkan Filipina sebagai negara paling terjejas akibat denggi di rantau Pasifik Barat pada 2023 apabila mencatat sebanyak 167,355 kes yang melibatkan 575 kematian.
Negara itu juga menyaksikan peningkatan luar biasa dalam kes denggi pada 2025, iaitu 28,200 pesakit direkodkan pada 1 Februari lalu, sekali gus berlaku peningkatan 40 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Sementara lima bandar dan majlis perbandaran di negara itu telah diisytiharkan berwabak. – HARAKAHDAILY 6/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!